• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MHC Puji Pengurusan Sukan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof Dr. Shamala Subramaniam memuji strategi dan gaya pengurusan yang dilaksanakan kerajaan Terengganu dalam pembangunan sukan negeri itu.

Jelasnya, negeri berkenaan sentiasa membangunkan program untuk meningkatkan prestasi para atlet dalam pelbagai cabang sukan selain mengambil peranan menghargai jasa atlet di negeri itu.

"Adalah satu penghormatan bagi saya untuk mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mengenai penganjuran kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang bakal diadakan negeri ini.

"Sebagaimana ditegaskan oleh Presiden MHC, Dato' Sri Subahan Kamal, kami memastikan sokongan penuh terhadap penganjuran Terengganu International 5's Hockey Festival di Kuala Terengganu dan berada di sini, hari ini bagi membincangkan pelbagai aspek kejohanan tersebut bersama kerajaan negeri serta Persatuan Hoki Terengganu.

"Kami amat menantikan kerjasama ini untuk melihat Terengganu menjadi mercu tanda seterusnya bagi kejohanan hoki antarabangsa yang berprestij seperti Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Sultan Johor," katanya

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan di laman facebook miliknya selepas mengadakan pertemuan dengan Wan Sukairi di Wisma Darul Iman,baru-baru ini. 

Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan bahawa penganjuran Terengganu International 5's Hockey Festival dijangka berlangsung pada 20-26 November 2022 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

"Terima kasih Prof Dato Dr Shamala Subramaniam, ia adalah satu penghormatan bertemu anda dan saya menghargai idea anda tentang masa depan sukan dan atlet di Terengganu.

"Kerajaan Terengganu sentiasa mengalu-alukan usaha dan kolobrasi daripada persatuan-persatuan sukan yang lain bagi menterjemahkan hasil kepada kemenjadian Terengganu sebagi negeri kuasa sukan tanah air," jelasnya.