• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

MyMudah Tingkatkan Produktiviti, Daya Saing Negeri

KUALA NERUS, 10 Mac - Kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melaksanakan langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti peraturan melalui Program MyMudah ke arah melonjakkan produktiviti, daya saing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri. 

Setiausaha Kerajaan negeri ,Tengku Seri Bijaya Raja berkata pihaknya menyambut baik usaha MPC dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) melalui penambahbaikan peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif ke arah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri juga  memberi sokongan penuh terhadap usaha mempermudahkan urusan pelaburan melalui kecekapan peraturan perniagaan. Usaha yang dijalankan ini bukan sahaja menarik minat pelabur tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada rakyat setempat serta ekonomi Terengganu. 

“Selaras dengan hasrat MPC untuk membantu mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, Kerajaan Negeri bersama-sama PBT telah memberikan komitmen dalam projek penambahbaikan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan dimana ia dapat menyumbang ke arah ekosistem perniagaan yang lebih kondusif di Negeri Terengganu. 

“Setinggi-tinggi penghargaan di atas penubuhan satu Unit MyMudah di peringkat Kerajaan Negeri, tujuh unit MyMudah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), lapan unit MyMudah di peringkat Pejabat Daerah dan satu unit MyMudah di peringkat Pejabat Tanah. Ini merupakan komitmen padu kami terhadap inisiatif ini. 

“Pihak kami yakin usahasama dengan MPC ini bakal membuka peluang baharu serta manfaat kepada rakyat Terengganu sejajar dengan pelan jangka panjang negeri iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030,” katanya di Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Raia di sini hari ini. 

Persidangan yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki  Ali melibatkan 300 penyertaan daripada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Persekutuan serta persatuan perniagaan turut menyaksikan Tengku Seri Bijaya Raja  menerima Anugerah Tokoh Produktiviti atas kepimpinan dan komitmen beliau.

Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya berkata Unit MyMudah bertindak sebagai platform untuk rakan-rakan industri menyalurkan maklumat, cadangan, dan pandangan berkaitan isu-isu kerenah birokrasi dan beban peraturan yang tidak wajar. 

“Kita sedia maklum bahawa terdapat banyak peraturan dan garis panduan di peringkat Kerajaan Negeri dan PBT yang perlu dipatuhi oleh peniaga. 

“Justeru, melalui Unit MyMudah, industri boleh berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa berkaitan serta bekerjasama dalam menyelesaikan isu dan cabaran peraturan perniagaan tanpa perlu melalui banyak kerenah birokrasi,”ujarnya.