• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Naik Taraf Penggunaan Teknologi Digital - Dato’ Yahaya

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS, 30 April - Penggunaan teknologi digital di universiti perlu diperkasakan lagi bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, perkhidmatan jalur lebar perlu lebih agresif dalam merealisasikan penggunaan teknologi digital sejajar untuk meningkatkan lagi produktiviti negara

Katanya, Terengganu telah melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, salah satu pemboleh daya Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Di peringkat negeri kita (kerajaan) telah melancarkan Taman Maya (AI). Cuma cabaran kita sekarang ini bagaimana dari segi infranya,” soal beliau ketika bersiaran langsung bersama radio di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Gong Badak, baru-baru ini.

Menurutnya, taman maya itu bertindak sebagai satu asas dan infrastruktur dalam mempelbagaikan sektor-sektor yang terlibat melalui kemajuan pembangunan dan kajian.

Yahaya berpendapat, walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 tetapi penguasaan dari segi digitalisasi tidak dapat dipisahkan.

"Kalau kita cakap soal pendidikan di peringkat pusat pengajian tinggi (IPT) kadang-kadang ada cabaran yang dihadapi.

"Umpamanya, sesetengah tempat kurang akses internet yang baik, keluarga miskin tidak mampu ada gajet yang sepatutnya,” jelas beliau.

Justeru itu, katanya perkara itu hendaklah ditangani dengan segera kerana penggunaan teknologi digital sangat penting pada zaman sekarang.

“Kalau kita ambil dari satu sudut berkait bisnes dulu menggunakan teknologi maklumat termasuk 'marketing online' itu berlaku, tetapi tidak sehebat sekarang.

"Begitu juga perkara yang perlu dilihat dan diberi fokus bagaimana boleh meneroka benda-benda baharu, bagaimana kebaikan moden ini boleh membantu mengembangkan bidang ekonomi, sosial dan lain-lain,” ujarnya.

Selain itu, katanya soal pendidikan juga berkait dengan soal bisnes dan sosial bersifat lebih global.

"Sebab itu peranan universiti ini bukan sahaja kita nak melahirkan golongan yang berbangga dengan segulung ijazah. 

"Apa yang lebih penting ialah mahasiswa berkenan mesti ada sumbangan kepada masyarakat, dengan kajian dan inovasi termasuk dengan benda baharu,” tegasnya.

Yahaya menjelaskan, sebagai pulangan kepada masyarakat dalam bentuk penemuan kajian perkara yang boleh membantu menyelesaikan isu semasa sebagaimana dalam suasana cabaran pandemik.


Tag: