• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Nehz Squad 'Raja' PUBG Terengganu 2021

KUALA TERENGGANU, 28 November – Pasukan Nehz Squad muncul juara bagi permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile sempena Karnival e-Sport Belia Terengganu 2021.

Pasukan yang mewakili Hulu Terengganu tersebut berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 beserta piala dan pingat.

Mereka mengalahkan Loco Esports yang menduduki tempat kedua serta Fizx Ghost yang menduduki tempat ketiga.

Ahli pasukannya, Faiz Aiman Baharudin, 20, menyifatkan kemenangan sulung pasukannya dalam peringkat negeri menebus kekecewaan tahun lalu.

Faiz Aiman Baharudin menerima pingat daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim

“Antara rahsia kemenangan memperoleh ‘Chicken Dinner’ adalah berdoa sebelum perlawanan dan latihan secara konsisten. Rata-rata pemain dalam Nehz Squad telah mengasah skil sejak tiga tahun lalu secara kompetetif.

“Kami mendarat dan beraksi dalam PUBG enam hari seminggu dengan sehari cuti kerana ini adalah medan yang difokuskan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Karnival E-Sport Belia Terengganu 2021 di TD1303, petang semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak dan Presiden E-Sports Malaysia Terengganu, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani.

Sementara itu Mohd Hafizuddin Fikri Namaha, 22 yang juga ahli pasukan itu menyifatkan inisiatif penganjuran sukan elektronik tersebut sebagai mengangkat martabat belia Terengganu bersama kerajaan negeri.

“Program sebegini amat digalakkan, jika ada rezeki tahun hadapan kita akan sahut cabaran lagi,” katanya yang juga seorang penjual runcit.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara tersebut menjadi satu medan mengumpulkan dan menghubungkan ‘gamers’ daripada seluruh daerah dan mengembangkan lagi persaudaraan melalui medium digital tersebut.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan Terengganu untuk memperkembangkan lagi bakat anak muda Terengganu dalam sukan e-sports yang kini menjadi fenomena antarabangsa, dengan bidang ini sebagai sumber pendapatan utama.

“Pendidikan dan tunjuk ajar kepada para pemain turut ditekankan dan dibimbing agar tidak leka akan tanggungjawab sebagai seorang muslim,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya lagi, kerajaan merancang agar program tahunan ini sentiasa berjalan dalam membina bakat sukan tersebut yang kini menjadi medan pungutan medal.

Untuk rekod Kejohanan tahunan anjuran UBSNT dengan kerjasama Esports Malaysia Terengganu telah disertai oleh 32 pasukan daripada setiap daerah pada tahun ini dalam merebut takhta nombor satu sebagai juara PUBG peringkat negeri.