• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

MARANG, 18 Ogos - Minat mendalam dalam bidang ukiran replika bot nelayan membuatkan Mat Nor Abu Bakar, 43, dari Bukit Gasing, di sini mampu menambah pendapatan sampingan keluarga.

Mat Nor yang berkerja sebagai nelayan menganggap kemahiran dimiliki sejak di bangku sekolah merupakan anugerah cukup bernilai.

Katanya, dia teringat mula-mula mengukir ketika duduk di tepi sungai dan melihat bot-bot kecil nelayan, kemudian dia menggunakan kabus mengikut apa yang dilihat.

"Permintaan sekarang amat memberangsangkan dan kebiasaannya orang yang menempah dan membeli adalah juga terdiri daripada kalangan nelayan sendiri, selain daripada penduduk luar negeri Terengganu yang berminat dengan ukiran untuk hiasan, "katanya.

Menurutnya, kerja mengukir bot yang dibuatnya lebih 20 tahun bermula pada usia belasan tahun adalah kerja sambilan setelah dia pulang dari laut mencari rezeki, ataupun pada musim tengkujuh melanda di mana nelayan tidak keluar ke laut.

"Antara bot yang pernah diukir adalah bot kecil, bot laut dalam, bot bubu, bot pukat tunda dan bot penambang. Bot kecil, saya jual pada harga RM300 manakala bot besar setakat ini juga mencapai harga lebih RM3000.

"Bot ini diukir menggunakan kayu pulau yang boleh didapati di kawasan sekitar yang kebiasaanya mengambil masa untuk siap, iaitu kurang dari satu hingga lebih daripada tiga bulan, mengikut keadaan, "katanya.

Katanya lagi, ada bot yang diukir tersebut ini juga dibuat lengkap dengan memasang enjin sebenar yang mampu dibawa untuk bermain di atas air atau laut menggunakan 'Remote Control'.

"Saya juga sangat mementingkan kualiti ukiran, di mana ciptaan tersebut haruslah sama dengan keadaan rupa bot yang sebenar, dan proses itu juga mengambil masa di samping keperluan peralatan-peralatan moden, ",katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya mengunjungi pengusaha tersebut untuk menyalurkan sedikit bantuan kepadanya pagi ini.

"Kita juga berhasrat untuk mengetengahkan kemahiran yang dimiliki olehnya di peringkat yang lebih tinggi dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu selain bantuan-bantuan lain yang dapat dimanfaatkan," tambahnya lagi.


Tag: