• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Ngambat Ikan Sungai Berang Tarikan Di Hulu Terengganu




Program ngambat atau mengarau ikan kini dijadikan program tahunan dan mengisi kalendar pelancongan Daerah Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas  Negeri, Ghazali Taib berkata, program itu akan menjadi tarikan kepada pelancong kerana tidak semua sungai mempunyai keunikan seperti itu pada musim kemarau.

"Di Sungai Berang ini pada musim kemarau, kita dapat lihat banyak ikan seperti ikan Lampam, Sebarau dan Kelah yang akan berenang di sepanjang sungai dan tradisi ngambat ikan ini sebenarnya merupakan tradisi zaman-berzaman masyarakat Hulu Berang.

"Program menghambat ikan ini, kita sudah buat selama tiga tahun berturut-turut dan pada tahun ini sambutannya lebih besar dengan kehadiran agensi dan jabatan seperti Jabatan Kebudayaan Dan Keseniaan Negeri Terengganu(JKKN), Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan masyarakat setempat,"kata Ghazali.

Beliau berkata demikian kepada  pemberita ketika ditemui di Program Mengarau Ikan Perdana di Sungai Berang,Pengkalan Ajal,Ajil, hari ini.



Ghazali turut berharap aktiviti itu akan terus kekal supaya tidak luput dek zaman dan memberi nostalgia kepada generasi muda.

"Saya mahukan ngambat ikan ini memberikan satu tanda ingatan kepada orang-orang muda terutamanya bila mereka diperantauan,mereka mempunyai sesuatu nostalgia yang mengingatkan mereka akan kampung halaman,"katanya lagi.



Peserta program ngambat ikan berkenaan yang turut disertai oleh JKKN,  kelihatan cukup bersemangat menyertai acara daripada awal sehingga kemuncak program.

Seorang peserta, Mohd Nur Izzat Mohd Idris,28, berpandangan program ini bukan sahaja memberikan kepuasan tersendiri kepada individu terlibat apabila melihat pukat dipenuhi pelbagai spesies ikan, tetapi juga keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada YB Ajil yang menjemput JKKN ke program ini malah kami teruja melihat bagaimana komuniti ini yang sangat meraikan pengunjung, sediakan tempat yang selesa serta makan minum di tepi sungai dengan layanan yang terbaik”

“Program ngambat  ikan ini menjadi satu pengalaman baru dan sangat menarik untuk dikongsi bersama.Ianya sesuai untuk dijadikan aktiviti santai bersama keluarga kerana air sungai yang cetek. Malah, program ini boleh disusun secara khusus dengan lebih formal untuk menjadikannya sebagai satu tarikan dan produk pelancongan negeri,”

Tag: