KUALA TERENGGANU, 16 Januari – Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita di negeri ini diseru agar terus memperkukuh jaringan kerjasama dan sinergi strategik bagi memastikan peranan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam mendukung agenda pembangunan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kekuatan jaringan yang luas membolehkan NGO wanita melaksanakan gerak kerja kebajikan dan sosial dengan lebih berkesan serta memberi impak langsung kepada masyarakat.
Menurut beliau, NGO wanita bukan sekadar pelengkap, sebaliknya merupakan rakan strategik kerajaan negeri dalam merealisasikan dasar kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan dan pemerkasaan wanita serta keluarga berteraskan nilai Islam.
“Kerajaan negeri memerlukan sokongan NGO wanita sebagai rakan pelaksana dasar, khususnya melalui pendekatan turun padang dan sentuhan komuniti agar manfaat dasar sampai terus kepada golongan sasaran,” jelasnya.

Justeru itu, beliau turut menyeru NGO wanita agar meningkatkan profesionalisme, tadbir urus yang baik dan keupayaan pengurusan program bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara tersusun, berintegriti serta diyakini.
Dalam masa sama, NGO wanita digalakkan berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklum balas rakyat secara berhikmah dan bertanggungjawab demi kepentingan ummah dan negeri.