KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Yayasan Terengganu hari ini meterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Batik Air bagi merealisasikan Program Juruteknik Pesawat Berlesen (CAAM Part-66 Category A1).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia membuktikan usaha, komitmen dan keazaman Kerajaan Negeri untuk menyediakan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak negeri melalui pendidikan efektif, kemahiran yang diperlukan di pihak industri dan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Katanya, kerjasama antara Yayasan Terengganu dan Batik Air ini untuk memperolehi lesen profesional Civil Aviation Authority 466 kategori A1 yang melayakkan mereka untuk mengesahkan kerja-kerja teknikal penyelenggaraan pesawat.
“Inisiatif ini dimulakan dengan kelulusan pinjaman pendidikan bagi 10 orang pelajar anak Terengganu untuk mengikuti Program Juruteknik Pesawat Berlesen – CAT A di Batik Air, bermula 3 November lalu.
“Lesen ini sebagaimana yang kita sedia maklum akan melibatkan proses pengajian dan latihan di tempat kerja (on the job training) yang merangkumi pendedahan teknikal mendalam terhadap sistem kritikal pesawat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mjalis Menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara yayasan Terengganu dengan batik Air di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, melalui MoA ini, Yayasan Terengganu dan Batik Air menyasarkan untuk membina laluan kerjaya yang lebih tersusun bagi anak negeri, daripada latihan asas berlesen hingga peluang kemajuan dalam bidang penyelenggaraan pesawat, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekosistem tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam sektor aeroangkasa negara.
“Terima kasih kepada Batik Air yang telah memberi ruang kepada anak-anak di Negeri Terengganu,” ujarnya.