lightning-solid
Berita :
Insiden Tular di Jambatan Angkat, Pengurusan Keluarkan Amaran Keras
Insiden Tular di Jambatan Angkat, Pengurusan Keluarkan Amaran Keras
Noraini Jusoh
14 jam yang lepas
81

KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang perbuatan berbahaya, melanggar undang-undang atau menjejaskan keselamatan awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu (drawbridge). 

Terengganu Drawbridge dalam satu kenyataan di laman Facebooknya menegaskan, pihak pengurusan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perbuatan sedemikian.

“Ini adalah peringatan keras kepada semua pihak bahawa keselamatan awam adalah tanggungjawab bersama. Sebarang bentuk tindakan yang boleh mengundang bahaya, kecederaan atau kerosakan drawbridge adalah tidak akan dikompromi.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam memastikan drawbridge kekal sebagai mercu tanda kebanggaan negeri yang selamat, tertib dan dihormati oleh semua,” ujar kenyatan itu.

Terdahulu, tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di berada di kawasan itu kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Perbuatan itu dilihat mencetuskan kemarahan warga maya dan berlaku perdebatan antara mereka di laman sosial sejak malam semalam.

Mengulas lanjut, kenyataan tersebut menyatakan, perbuatan berbahaya menggunakan suar di drawbridge adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.

“Pihak pengurusan memandang serius insiden tular yang memaparkan perbuatan menyalakan dan menggunakan suar di kawasan drawbridge. 

“Tindakan tersebut adalah suatu perbuatan berbahaya, tidak selamat dan sama sekali tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi di lokasi ikonik tumpuan orang awam serta pengguna jalan raya.

“Penggunaan suar secara terbuka di kawasan awam boleh mengundang pelbagai risiko keselamatan termasuk kebakaran, letupan kecil, kecederaan kepada individu, pejalan kaki serta ancaman terhadap struktur dan kemudahan awam,” jelasnya.

Katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan pelaku sendiri, malah turut mengancam keselamatan orang lain, merosakkan imej negeri, serta mencemarkan nilai tanggungjawab sivik dalam kalangan masyarakat. 


Tag :

Artikel Berkaitan