KUALA TERENGGANU, 2 Februari - 33 orang lelaki yang merupakan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC ditahan Polis Terengganu kerana memiliki dan positif dadah serta mengganggu tugas penjawat awam, petang semalam.
Menurut Ketua Polis Terengganu , DCP Dato' Mohd Khairi Khairuddin, bermula dengan aduan berhubung tindakan sekumpulan penyokong yang mengadakan perarakan secara tidak terkawal di Jambatan Angkat yang menghalang laluan kenderaan awam serta membakar suar, pihak IPD (Ibu Pejabat Daerah) Kuala Terengganu telah mengambil tindakan penguatkuasaan di lokasi kejadian.
"Keseluruhan rombongan yang melibatkan 10 buah bas, lebih kurang 412 orang penumpang, telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sekitar jam 8.00 malam bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan ke atas pemandu dan penumpang bas berkenaan, pihak polis telah menjumpai serta merampas dadah yang disyaki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram.

Tambahnya, kesemua yang ditahan berumur 17 tahun hingga 43 tahun
Mohd Khairi menjelaskan bahawa dari kesemua individu tersebut, seramai sembilan lelaki ditahan kerana memiliki suar dan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Mereka juga turut disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.
"Tiga individu lelaki ditahan kerana memiliki dadah disyaki jenis ganja dan disiasat di bawah Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM20,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.
"Mereka juga turut di siasat di bawah seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dijatuhi hukuman denda tidak kurang RM20,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.
"Manakala, 21 individu telah didapati positif dadah jenis THC (delta-9-tetrahydrocannabinol) hasil ujian saringan air kencing dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Turut dimaklumkan, tujuh orang dari tangkapan tersebut merupakan dua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan empat penuntut IPTS dan seorang pelajar sekolah menengah.

Pihak polis turut merampas “suar” pelbagai saiz sebanyak 70 batang dengan 54 darinya telah dibakar.
"Untuk makluman, bagi kes memiliki dadah reman selama empat hari bermula hari ini, 2 haribulan sehingga 5 haribulan.
"Bagi kes ujian saringan awal dadah, reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 4 haribulan dan bagi kes jenayah, reman selama tiga hari," ujarnya.