RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
Paip pecah di Bukit Berangan dibaiki dengan kadar segera
Oleh: Anis Nurhanan
KUALA NERUS, 15 Ogos - Paip air bersaiz 600 mm yang pecah di Jalan Bukit Berangan dibaiki dengan kadar segera oleh pasukan teknikal Syarikat Air Terengganu (SATU).
Paip air tersebut melibatkan Tangki Berangan nombor dua ke sekitar Universiti Malaysia Terengganu dan Kuala Nerus.
Gangguan bekalan air akan berlaku dan menjejaskan sebanyak 4,750 akaun sepanjang proses pemulihan paip dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh memaklumkan, berlaku keretakan dan kebocoran pada ‘joint’ paip tersebut.
“Kita telah berbincang dengan pihak SATU dan dikatakan masalah ini tidaklah rumit dan proses pembaikian dapat disiapkan dalam tempoh lima hingga enam jam.
“Insya-Allah air akan dapat dialirkan semula pada pukul tiga hingga empat petang setelah selesai kerja-kerja ‘welding’ dilakukan.
"Kerja-kerja memperkukuhkan paip air yang sedia ada tersebut turut dijalankan,” ujar Dr Mamad ketika ditemubual pihak media.
Untuk perkembangan selanjutnya, menurutnya, berlaku peningkatan aras air dalam tangki di Bukit Berangan.
Masalah aliran tekanan air tersebut akan dapat diatasi dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
“Kita harap aliran tekanannya akan pulih seperti biasa selepas ini,” katanya.