• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Paras Air Di Bandar Kuala Terengganu Terkawal

KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Fenomena air pasang besar berserta dengan hujan lebat yang mengakibatkan banjir di pusat bandar Kuala Terengganu awal Disember baru-baru ini membuatkan Jabatan Amal Kuala Terengganu khasnya di bandar sentiasa berwaspada. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, Jabatan Amal selaku antara NGO kebajikan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar sentiasa bersiap sedia sepanjang tempoh monsun yang masih berbaki ini.

Ahmad Shah menghulurkan sumbangan barang keperluan kepada salah seorang mangsa banjir.

"Pemantauan tetap dijalankan oleh pihak PKM dan Jabatan Amal. Walaupun setakat ini tiada banjir, namun hujan lebat dan angin yang bertiup kencang dapat menjejaskan rumah-rumah kampung.

"Jika ada sebarang kerosakan, saya harap boleh laporkan kepada JPKK masing-masing. Kita akan cuba baik pulih dengan kadar segera," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar turut mengingatkan agar semua pihak lebih berhati-hati menjaga diri serta ahli keluarga dengan mengelakkan bermain di tempat berisiko seperti pantai dan sungai. 

Sementara itu Saudara Nizam, Komander Jabatan Amal Kuala Terengganu ketika dihubungi mengesahkan seluruh anggotanya diminta sentiasa peka dengan laporan kaji cuaca di zon masing-masing.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut bagaimanapun dijangka akan berakhir pada Mac ini.


Tag: