• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pasangan Warga Emas Terharu Terima Katil Boleh Laras

Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad

MARANG, 27 Jun – Pasangan warga emas yang menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok menerima katil boleh laras yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah semalam.

Suami isteri itu Hussin Awang, 66, dan Zaimah Chik, 59, menetap di Kampung Titian Baru, di sini.

Husin berkata, bantuan itu dapat meringankan sedikit beban selepas kedua-dua mereka tidak lagi mampu bergerak kerana penyakit yang dihadapi.

“Alhamdulilah, kami bersyukur, dengan adanya katil beroda ini, ia sedikit sebanyak memberikan keselesaan selain memudahkan lagi urusan,” katanya.

Mohd Nor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri turut berharap agar mereka akan terus tabah menghadapi dugaan itu.

"Semoga dengan sumbangan katil ini dapat menambahkan sedikit keselesaan kepada mereka dan tabahkan hati dalam mengharungi ujian ini," katanya

Hadir sama dalam penyerahan tersebut, Pegawai khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) Bukit Payong, Mat Noh Ismail, Pengerusi MPKK Kampung Titian Baru, Abdul Halim Wahab dan hadir sama Masyarakat setempat.