• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pasukan Padat 4x4 Juarai Bukit Besi Monsoon Challenge

DUNGUN, 5 Disember – Pasukan Padat 4x4 muncul juara dalam Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge kategori Open Hardcore, semalam meskipun berdepan kesukaran berdepan cuaca di musim tengkujuh.

Pasukan gabungan tiga krew 4x4 daripada Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur tersebut berjaya mengalahkan Geng Tookmu untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi dan sijil.

Pemandu jentera ‘Buggy’ pasukan tersebut, Mohd Effendi Husin berkata pencapaian itu bukan perkara yang mudah kerana perlu berentap dengan jumlah peserta yang ramai.

“Kategori ini memerlukan ketahanan daripada segi mental, itu nombor satu, jentera kita juga serta kerjasama antara pemandu dan pemandu bersamanya, Muhammad Ifan Jamaludin dari kemaman, juga antara elemen penting bagi menguasai lapan trek disini.

“jika kereta atau ahli pasukan tidak mahir, kita tidak mampu sampai ke tahap ini, nasib juga menyebelahi kita.

“Ini adalah penyertaan kedua saya, sebelum ini pada 2018 saya gagal mendapat tempat disebabkan masalah teknikal dengan 4x4, jadi hari ini saya berjaya menebuskan kekecewaan dua tahun lalu,” katanya yang berasal daripada Kuala Lumpur.

Tambahnya, 90 peratus daripada trek memerlukan skil kawalan tinggi dalam menghadapi faktor seperti cuaca dan keadaan yang licin serta rintangan tinggi.

Pemandu daripada LC Houz tersebut berkata demikian selepas Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge di Bukit Besi Rainforest Park, Dungun, petang semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun.

Jelas Effendi, dia berterima kasih kepada Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT) dan Kerajaan Negeri atas penganjuran yang disifatkan mampu mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

“Dengan hadiah besar ini amat berbeza dengan acara lain, sebelum ini kami rasa tidak dihargai, tapi hari ini saya harap setiap tahun kejohanan sebegini dapat diadakan di tempat lain dalam Terengganu,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT), Shamsul Anuar Musa berkata, sebanyak 52 kelab melibatkan 190 pemandu dari pelbagai negeri berentap dalam Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4 2021 selepas penganjuran pertama pada 2018.