• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pejabat Kesihatan Setiu Lancar Program Perangi Aedes

Oleh : Fahmi Izzuddin

SETIU, 22 Jun – Pejabat Kesihatan Daerah ini melancarkan Program Gotong Royong bagi memerangi pembiakan nyamuk aedes walaupun Setiu hanya mencatatkan tiga kes denggi tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, Zainurin Abdullah berkata, meskipun berlaku penurunan terhadap kes demam denggi di Terengganu, pihaknya tetap mahu semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kempen amalan kebersihan norma baharu yang dijalankan ketika ini memfokuskan kepada tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran rumah masing-masing.

“Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan Majlis Daerah Setiu (MDS) bekerjasama sepenuhnya dalam memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di setiap kampung, sampah sarap dikumpulkan dan pihak MDS akan melakukan kutipan,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Kampung Mangkok kelmarin.

Menurutnya, program yang dijalankan secara berjadual merangkumi semua kampung itu amat penting dalam mengelakkan kes denggi menular di saat rakyat juga berdepan COVID-19.

Penduduk disarankan untuk mengambil tindakan kendiri dalam memastikan tahap kebersihan di tahap yang terbaik.

“Peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) digerakkan bagi menyebar luas maklumat dan hebahan semasa mengenai amalan kebersihan dalam memerangi aedes dan demam denggi,” tambah beliau.

Untuk rekod, setakat bulan Jun tahun ini, sebanyak 176 kes denggi direkodkan berbanding 318 kes dalam tempoh sama tahun lalu dengan penurunan sebanyak 44.5 peratus.

Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi dengan 99 kes diikuti Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17), Besut (14), Dungun (11), Marang (lapan) dan Hulu Terengganu (lima).