• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Pelaburan Perkilangan di Terengganu Naik Lebih 100 Peratus

KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Nilai pelaburan projek perkilangan di Terengganu bagi tempoh 2018 hingga 2022 meningkat lebih 100 peratus berbanding tempoh lima tahun sebelumnya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada 2018 hingga 2022 kerajaan Terengganu merekodkan RM11.59 bilion nilai pelaburan membabitkan 51 projek.

Katanya, nilai itu meningkat lebih sekali ganda berbanding ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan pada 2013 hingga 2017 iaitu hanya mencatatkan RM5.33 bilion dengan 41 projek.

“Secara umumnya ada lima sektor atau industri yang menyumbang kepada pelaburan di Terengganu iaitu pertanian, pembuatan, minyak, gas dan petrokimia, pelancongan dan logistik.

“Sejak tahun 2018, nilai pelaburan ini menunjukkan trend peningkatan saban tahun, pada 2018 sebanyak RM0.210 bilion, RM0.770 bilion (2019), RM2.950 bilion (2020), RM2.930 bilion (2021) dan RM3.740 bilion (2022),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Khalil menepis dakwaan songsang pemimpin UMNO.

Tambah Muhammad Khalil, kos pelaburan yang dibuat oleh anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc. seperti Golden Pharos, Primula Beach Hotel, TDM Berhad, Ladang Rakyat dan beberapa syarikat lagi sejak tahun 2018 sehingga sekarang sudah pun mencecah RM387.05 juta.

“Pelaburan ini adalah dalam pelbagai segmen antaranya ialah penjagaan kesihatan (RM178 juta), industri perladangan (RM150 juta), dan infrastruktur & kejuruteraan (RM40 juta),” jelasnya.

Dalam sektor pertanian pula ujarnya, ada 10 projek yang melibatkan nilai pelaburan berjumlah lebih RM850 juta.

“Bermacam-macam projek, antaranya lada hitam, benih kerapu, ladang napier, kambing tenusu, nanas MD2, kelapa, lembu semi-feedlot dan durian Musang King,” katanya.

Daripada data ini  beliau merasakan agak lucu jika masih ada pemimpin UMNO mengatakan ‘tiada pelaburan di Terengganu’, ‘PAS tak pandai tarik pelabur’, sebab statistik rasmi menunjukkan sebaliknya.  

“Saya tahu bahawa kata-kata itu sekadar tuduhan semberono dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi Kerajaan Negeri dan PAS menjelang pilihan raya nanti,” katanya.


Tag: