• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pelajar Luar Negara Perlu Jadi Individu Luar Biasa

KUALA TERENGGANU,  19 September-  Pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara sewajarnya perlu menjadi individu luar biasa.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar  berkata,  anak- anak perlu memilih untuk menjadi orang biasa-biasa atau pelajar luar biasa.

Katanya, jika mahu menjadi pelajar luar biasa dan berkebolehan, mesti mempunyai sikap positif, ingin tahu dan sentiasa meneroka ilmu baharu.

"Apabila sudah berada di luar negara, perlu bijak mencari kawan, wujud jalinan persahabatan di antara pelajar  asing bukan hanya berkawan dalam satu kelompok sahaja 

"Langkah itu akan wujud pengalaman belajar, selain boleh bertukar- tukar idea, ilmu dan pendapat.
 
"Paling penting jangan lupa Allah SWT  dengan ingatan kepadaNya pastinya boleh mengukuhkan kekuatan iman dan ilmu dan selain tidak mudah terjerumus dengan anasir negatif, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang disiarkan dalam Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara Tahun 2021 di Zoom Meeting, hari ini 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat.

Majlis itu dihadiri 29 pelajar di mana 27 pelajar bakal melanjutkan pengajian di pelbagai universiti di Jordan dan dua lagi akan ke United Kingdom.

Ahmad Samsuri turut memberitahu, fasa pengajian yang akan ditempuh nanti diibaratkan sebuah bahtera menempuh lautan Samutera yang sangat luas.

"Ada ketikanya air laut tenang,  namun ada ketikanya perlu berdepan dengan ombak yang ganas, langit hitam kelam, pasti bahtera kita akan berpusing-pusing dan bermasalah.

"Namun sebagai pelajar cemerlang sewajarnya perlu tenang hadapi situasi tersebut, apa yang penting jangan berputus asa.

"Perlu jadi orang yang terbaik di kalangan mereka terbaik,' katanya


Tag: