• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pelumba TSG Juara Keseluruhan Di Jelajah Thailand

KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya merangkul gelaran pelumba terbaik keseluruhan menerusi pelumbanya Jambaljamts Sainbayar.

Atlet berbasikal berbangsa Mongolia itu berjaya menyarung jersi kuning setelah mengekalkan prestasi sejak hari pertama, meskipun menamatkan kayuhan terakhir di tempat kedua.

Pada perlumbaan peringkat keenam, Adne van Engelene dari Bike Aid muncul tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 45 minit 16 saat sementara Sarawut Sirironnachai mewakili Thailand Continental Cycling Team di kedudukan ketiga ( 3 jam 45 minit 51 saat).

Bagi kategori pasukan terbaik pula dimenangi oleh Bike Aid manakala TSG berada di kedudukan kedua dan Team Sapura Cycling ketiga.

Jersi Hijau pula dimenangi oleh pelumba Bike Aid Lucas Carstensen manakala Engelene mengungguli sebagai Raja Bukit (Jersi Polka Dot).

Dalam pada itu, Jambaljamts berkata, dia berpuas hati dengan kerjasama semua pihak untuk memperoleh keputusan positif dalam perlumbaan Jelajah Thailand.

"Perlumbaan yang cukup mencabar namun saya berterima kasih kepada pasukan, rakan dan juga penaja yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh perlumbaan," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, baru-baru ini.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Nur Amirullah Fakhruddin Mazuki lega dengan kemenangan itu sekali gus menyaksikan strategi yang diterapkan sepanjang tempoh perlumbaan membuahkan hasil.

"Syukur Alhamdulillah, perlumbaan terakhir rakan sepasukan dapat memenangi Jersi Kuning. Ini adalah hasil daripada taktik berkesan untuk memperoleh kejayaan itu," jelasnya.

Untuk pengetahuan, Jelajah Thailand edisi 2021 menawarkan hadiah secara keseluruhan mencecah setengah juta ringgit dengan pasukan Bike Aid mendominasi wang kemenangan itu apabila memperoleh kira-kira RM115,000.