• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pembebasan Al-Quds Isu Akidah Yang Wajib Diperjuangkan

KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan bahawa isu pembebasan Al-Quds merupakan isu akidah yang wajib diperjuangkan sehingga umat Islam berjaya mengecap kemenangan.

Tambah beliau, isu pembebasan Al-Quds ini bukan sahaja isu rakyat Palestin atau serantau Arab semata-mata tetapi ia juga merupakan isu kemanusiaan yang wajar disambut diperingkat global.

“Minggu Al-Quds Sedunia ialah satu inisiatif yang digerakkan serentak di serata dunia bagi mencetuskan gelombang kesedaran berkenaan perjuangan pembebasan Al-Quds dan Palestin.

“Alhamdulillah, sepanjang kita melangsungkan program ini saya telah menerima mesej daripada rakan-rakan di Turki, Jordan, Tunisia, Pakistan dan lain-lain lagi yang begitu bersemangat melihat bagaimana sambutan yang diadakan di peringkat Malaysia,” katanya dalam Majlis Kemuncak Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia di Dewan Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ustaz Idris Ahmad, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Dato' Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berharap agar usaha kecil ini dapat menjadi pemacu bagi membangkitkan rasa cinta dan kasih kepada Al-Quds.

Majlis tersebut turut diisi dengan sebuah forum bersama aktivis Malaysia di Palestin, Nadir Al-Nuri yang berkongsikan ilmu serta pengalaman sepanjang berada di sana. 

Di samping itu, majlis tersebut juga dimeriahkan lagi dengan persebahan oleh kumpulan Inteam dan deklamasi sajak oleh Bonda Nor dan Haji Rafi.