• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pembinaan KQT, Bandar Baharu Lengkapkan Manifesto Terengganu

DUNGUN, 27 Oktober - Pembinaan kampus tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau melengkapkan pelaksanaan 20 manifesto yang dijanjikan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek KQT itu menelan kos pembinaan sebanyak RM370 juta dan dijangka akan mula dibina selepas majlis pecah tanah hari ini.

Kataya, pembinaan kampus tetap KQT itu adalah usaha kerajaan negeri Terengganu untuk mewujudkan kembali institusi pengajian tinggi Islam milik kerajaan negeri atau sebagai ganti Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

"KQT perlu mempunyai kampus tetap bagi menampung pertambahan jumlah pelajar serta menaiktaraf KQT menjadi Kolej Universiti menjelang tahun 2025. 

"Kerajaan negeri juga berhasrat untuk mewujudkan bandar baru lestari di setiap daerah berpandukan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030)," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau, Dungun pada pagi tadi. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pendidikan Tinggi negeri, Dato' Haji Satiful,  Bahari Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr. Alias Razak.

Jelas Ahmad Samsuri lagi, terdapat dua kawasan yang telah dipilih sebagai lokasi projek printis iaitu Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau dan Bandar Baharu Lestari Bukit Seraya, Kuala Nerus. 

"Di Durian Mentangau ini, bandar baharu ini mencakupi keluasan 751.57 hektar dan KQT merupakan sebahagian komponen utama yang menjadi pemangkiun pembangunan keseluruhan bandar tersebut. 

"Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) akan dijadikan sebagai hub pendidikan terunggul di Malaysia khususnya dan di peringkat global amnya," tegasnya.

 


Tag: