• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pembinaan Rumah Mampu Milik Tempinis Kembali Rancak

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 14 Jun - Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis, Jabi kini kembali aktif setelah tertangguh sejak beberapa bulan lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek pembinaan itu mensasarkan 100 unit RMM dalam bentuk rumah teres yang bernilai RM80,000 seunit.

“Projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menelan kos RM140 ribu seunit tetapi dijual kepada rakyat dengan harga hanya RM80,000 sahaja seunit.

“Ini bermakna setiap unit diberikan subsidi sebanyak RM60,000 oleh kerajaan negeri. Ia merupakan satu jumlah yang agak besar,” katanya selepas melawat tapak projek RMM berkenaan semalam.

Menurut beliau, idea projek rumah bercirikan mesra syariah pertama di Terengganu itu dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Januari lalu dan ia dibina di atas tanah berkeluasan 9.5 ekar.

“Inilah antara isu dan cabaran terbesar kerajaan negeri iaitu bagi menyediakan kemudahan rumah mampu milik kepada rakyat. Keperluannya adalah sangat mendesak.

“Kita tidak mahu bina rumah mampu lihat. Dimaklumkan ratusan ribu permohonan rumah mampu milik daripada rakyat telah diterima kerajaan,” jelasnya lagi.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat beberapa lokasi tapak RMM di Jabi sedang dalam proses pemwartaan tanah dan akan dilaksanakan pembinaan melalui konsep penswastaan.

“Melihat kepada terhadnya tanah kerajaan yang boleh dijadikan tapak RMM di Jabi, saya telah mencadangkan kepada pemaju yang berminat untuk membina RMM secara bertingkat agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

“Apabila dibuat tinjauan, nampaknya idea untuk orang Jabi duduk rumah pangsa tiga atau empat tingkat boleh diterima umum. Yang penting kita ada rumah.

“Saya berharap usaha ini dipermudahkan Allah dan doakanlah semoga kerja besar ini berjaya,’’ tambahnya.


Tag: