• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pemeteraian MoU Cetus Kesan Kepada Kerajaan Negeri

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 22 Mac – Memorandum Persefahaman (MoU) antara Husa Network Manis FM dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal mencetuskan satu impak dalam komunikasi dan penyampaian ilmu di peringkat kerajaan negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia meliputi beberapa aspek terutama dari segi maklumat dan penerangan supaya berkembang secara lebih meluas lagi.

"Pada masa yang sama sebagai pemegang taruh (stakeholder), UniSZA juga memainkan peranan penting dari segi apa yang akan digerakkan selepas daripada ini.

"Kita mahu dari segi pembinaan kekuatan yang berkait dengan kesenian warisan budaya Islam menjadi lebih hebat dan juga dihayati sama ada di kalangan masyarakat mahasiswa tetapi juga (masyarakat) di luar sana insya-Allah," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara UniSZA Dan Husa Network Sdn.Bhd di Laman  Pusat Kesenian dan Warisan, Universiti  Sultan  Zainal Abidin pada semalam.

Turut hadir bersama ialah Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pendaftar UniSZA, Ismail Musa, Pengurus Besar Husa Network Sdn. Bhd, Ozarizan Mohd Nor dan Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman.

Menurut Yahaya lagi, antara bidang yang akan dilaksanakan melalui MoU tersebut ialah pertukaran dan perkongsian kepakaran teknikal dan konsultansi dalam bidang pertanian dan perniagaan. 

“Penganjuran bersama dalam mengadakan seminar bengkel kursus dan aktiviti kesenian dan perniagaan.

“Dan apa-apa bidang kerja sama lain yang dipersetujui bersama oleh pihak-pihak dari semasa ke semasa,” ujar Yahaya.


Tag: