Oleh : Nurul Natasha Surin
SETIU, 19 Februari - Pemimpin mahasiswa perlu memiliki kemahiran mengenal pasti masalah secara tepat sebelum merangka sebarang penyelesaian, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, ketika merasmikan Majlis Penutup Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Permata Kebangsaan Siri V di Peladang Agro Resort, semalam.
Beliau berkata, berbeza dengan suasana di sekolah dan universiti yang menyediakan formula khusus untuk menyelesaikan tugasan, realiti kehidupan selepas bergelar graduan menuntut seseorang mengenal pasti sendiri punca permasalahan sebelum mengemukakan solusi terbaik.
“Jika kita gagal mengenal pasti masalah sebenar, maka penyelesaian yang dibuat juga akan tersasar. Inilah cabaran sebenar apabila kita berada dalam gelanggang masyarakat.
“Pengalaman memimpin dan mengurus organisasi ketika di kampus bukan satu pembaziran masa, sebaliknya menjadi latihan awal membentuk kemahiran komunikasi, empati serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar.
“Mahasiswa yang aktif dalam kepimpinan akan lebih bersedia berdepan cabaran dunia pekerjaan termasuk mengurus rakan sekerja, memahami struktur pentadbiran serta menangani pelbagai kerenah dan perbezaan pandangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepimpinan yang mantap perlu berteraskan ketakwaan kepada Allah SWT sebagai visi tertinggi dalam kehidupan.
“Kemuliaan seseorang bukan ditentukan oleh bangsa, jantina atau latar belakang, sebaliknya tahap keimanan dan ketakwaan.
“Bangsa dan latar belakang bukan pilihan kita, tetapi untuk menjadi insan bertakwa adalah pilihan yang perlu diusahakan. Kepimpinan yang berintegriti dan berakhlak akan melahirkan masyarakat yang sejahtera,” katanya.
Beliau turut berharap peserta KPO Permata Kebangsaan dapat tampil sebagai pemimpin pelapis yang berwawasan, inklusif dan berkemahiran tinggi demi memastikan masa depan negeri dan negara terus cemerlang tanpa mengira kaum dan agama.