• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemuda Derita Tempurung Kepala Terima Bantuan Jalani Pembedahan

SETIU, 6 November - Seorang pemuda terlantar sakit di rumah selepas menjalani pembedahan membuang tempurung kepala akibat kemalangan jalan raya pada 14 November lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof.

Mohamad Fadhli Samsudin, 27, yang turut mengalami kecederaan di kepala dan rahang itu menerima bantuan kewangan daripada Azmi bagi mencukupkan dana untuk pembedahan bagi memasukan tempurung kepala tiruan.

Menurut Azmi, beliau dimaklumkan pembedahan tersebut memerlukan perbelanjaan kira-kira RM7,000.

"Alhamdulillah, walaupun kini jumlahnya sudah mencukupi namun saya berharap dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kos-kos yang lain," ujar Azmi ketika ditemui semasa menziarahi dan menyambung sumbangan kepada keluarga tersebut, di Seri Kenangan, kelmarin.

Sementara itu ayah kepada pemuda tersebut, Samsudin Sulaiman berkata, anaknya itu kini memerlukan perhatian penuh setiap masa ekoran keadaan dirinya tidak mampu berbuat apa-apa tanpa bantuan orang lain.

Kerana itu katanya, anak lelakinya itu turut dijaga oleh dua anak perempuannya yang lain iaitu, Hanisah Samsudin, 36 dan Nor Syazwani Samsudin, 32.

"Kami juga bersyukur kerana selain mendapat perhatian daripada ADUN setempat, juga mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan Tabung Darul Iman (TDI)," katanya.

Samsudin berkata, anaknya itu terlibat dalam kecelakaan jalan raya di Kota Masai, Johor ketika pulang dari tempat kerja.

"Keadaan di tempat kejadian itu gelap menyebabkan dia tidak nampak sebiji kon berada di tengah jalan tersebut, lalu melanggarnya.

"Ekoran itu, dia dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) kemudiannya menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Baru selepas dua minggu dapat dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum dibenarkan pulang," ujarnya.