• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Penderitaan Pesakit Kronik Dapat Perhatian


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 28 Februari- Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan perasaan Semek A.Bakar apabila suaminya, Mamat Yunus yang menjadi tempat bergantung hidup, menghidapi penyakit strok.

Menurut Semek, suaminya perlu meminta pertolongan ahli keluarga terutama dirinya untuk menguruskan kehidupan seharian kerana tidak dapat berjalan.

“Saya sekeluarga juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membeli lampin pakai buang kerana suami tidak dapat mengawal dirinya untuk membuang air besar dan kecil," ujarnya yang menetap di Kampung Banggol Tuan Muda.

Bagaimanapun, kesempitan hidup pasangan berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’  Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang berkesempatan menziarahi keluarga berkenaan dan lima buah rumah lain yang turut mempunyai ahli keluarga berpenyakit kronik di kampung tersebut menerusi program Ziarah Mahabbah, baru-baru ini.


Program berkenaan merupakan rutin anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus yang komited membantu rakyat yang ditimpa kesusahan dan kesakitan.

Menerusi ziarah terbabit, Dr Khairuddin telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan seperti beras, tepung dan sebagainya kepada keluarga-keluarga yang diziarahi beliau.

Katanya, Pusat Khidmat Ahli parlimen Kuala Nerus akan membantu keluarga yang menghidapi penyakit strok ini dengan memberi bantuan berupa lampin pakai buang kepada mereka.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka ini kerana kos membeli lampin pakai buang ini agak tinggi,” ujarnya.





Tag: