• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penerima Jadual 5A Dinasihat Jelaskan Bayaran Premium Segera

SETIU, 17 Oktober – Semua penerima jadual 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Terengganu dinasihat agar menjelaskan bayaran premium tanah dengan kadar segera sebelum tamat tempohnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana proses pembahagian geran akan menjadi lebih panjang sekiranya premium itu lambat dibayar.

"Jadual 5A ini ada tempohnya iaitu selama tiga bulan sahaja. Kalau tak sempat bayar, perlulah membuat rayuan untuk melanjutkan tempoh selama tiga bulan lagi. Selepas daripada itu, mengikut undang-undang apabila tamat tempoh tanah itu, ia akan menjadi milik kerajaan semula. 

"Apabila kita mahu balik tanah itu semula, perlu melalui prosedur yang panjang bermula daripada bawah, perlu masuk mesyuarat Tanah Daerah semula, Pejabat Tanah dan Galian dan Mesyuarat Exco yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan balik jadual 5A itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Surau Haji Omar, Apal di sini baru-baru ini.

​​​​​Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat segelintir rakyat sengaja tidak membayar premium tanah kerana tidak percaya kerajaan akan memberi tanah kepada mereka.

"Beberapa bulan lepas kita bagi jadual 5A kepada lebih 150 orang untuk RTB Bukit Tasik. Namun setakat ini dimaklumkan oleh Pejabat Tanah, hanya 40 orang sahaja yang sudah membuat pembayaran. Ini bermakna masih berbaki 100 orang lebih lagi belum membayar.

"Antara sebab orang tak mahu bayar bukan sebab tiada duit tetapi tidak berapa percaya kerajaan nak beri tanah, kerana sudah dibayar tapi masih tak dapat geran lagi. Padahal sudah dimaklumkan baru-baru ini, kita tidak bagi terus geran kerana kita mahu mengadakan majlis bagi meraikannya.

"Insya-Allah, 40 orang yang membuat pembayaran itu akan mendapat geran dalam masa yang terdekat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghiraukan kekacauan yang ditimbulkan untuk menggugat usaha murni kerajaan negeri. 

"Kita sedia maklum isu tanah Pasir Tawar ini sejak bertahun-tahun lagi. Tapi bila kita betul-betul nak bagi, orang tak berapa percaya. Mungkin juga kerana trauma terhadap pemerintahan yang lepas.

"Janganlah kita buat tak percaya tidak kena pada tempat. Berhati-hati tetap kena ada tetapi jangan buat tak percaya tidak kena tempat yang akhirnya urusan akan menjadi rumit.

"Insya-Allah dia Jabi ini saya akan pertimbangkan semua sama ada untuk lanjutan tempoh, pengurangan kadar bayaran dan sebagainya," tambah beliau.