• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Penganalisis Silap, Hasrat Anwar Adalah Salurkan Royalti 20 Peratus

Hasrat sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak puluhan tahun dahulu adalah bagi mengembalikan semula royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada rakyat Terengganu dan Kelantan, bukan lima peratus, jauh sekali kurang lima peratus seperti hari ini.

Iltizam Perdana Menteri ke-10 itu direkodkan dalam ratusan ucapan beliau di seluruh pelusuk tanah air, bahkan ia tersemat indah dalam memori jutaan rakyat Malaysia.  

Buktinya, rakyat Malaysia terkesima melihat kesungguhan Anwar pada Ogos 2012 apabila beliau dengan sedar berkata, "Putrajaya perlu memberikan royalti secara tunai kepada negeri-negeri terlibat berdasarkan peruntukan dalam Akta Petroleum 1974.

"Berdasarkan akta berkenaan cukup jelas kerajaan tidak boleh menafikan hak rakyat di Kelantan, Terengganu. 

"Pusat juga tidak berhak untuk campurtangan (dalam isu pemberian royalti minyak),” ujar Anwar dalam satu majlis di hadapan puluhan ribu rakyat.

Justeru adalah tidak wajar jika ada pihak yang menafikan hasrat sebenar dan komitmen mulia bekas Ketua Pembangkang itu untuk membayar royalti minyak Terengganu dan Kelantan apabila langsung tidak menyebut tentang ucapan dan janji-janji itu dalam isu royalti petroleum.

Dan sebenarnya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tidak kalut sebagaimana didakwa seorang penulis dari Utara Malaysia, sebaliknya beliau harus faham Ahmad Samsuri selaku Menteri Besar hanya membawa suara rakyat Terengganu yang mahu hak mereka dikembalikan sebagaimana tercatat dalam perjanjian 1974.

Iltizam kerajaan Perpaduan untuk menokhtahkan kemiskinan tegar merupakan satu usaha murni yang wajar dipuji, namun apabila hendak menggunakan wang milik pihak lain bagi tujuan itu, ia seharuskan dibawa ke meja rundingan terlebih dahulu seperti dibuat terhadap Sabah dan Sarawak, itulah yang ditekankan Ahmad Samsuri.

Langkah menggunakan duit royalti petroleum untuk menokhtahkan kemiskinan juga tidak membantutkan usaha Sabah untuk terus menuntut bayaran royalti petroleum seperti biasa, ini jelas terbukti apabila laporan Berita Harian pada 29 November 2023 menyatakan ‘Sabah Masih Runding Tuntutan Royalti Minyak’, kenyataan ini adalah selepas Sabah setuju Kerajaan Persekutuan guna hasil petroleum bantu basmi kemiskinan seperti didakwa penulis.

"Selain itu, turut masih dalam perundingan ialah pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak serta Akta Laut Wilayah 2012 dan hak negeri ke atas pelantar benua,” jelas Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Ini sangat berbeza dengan penulisan pihak tertentu yang dilihat mencipta persepsi songsang dengan tidak menyatakan tuntutan royalti kerajaan Sabah.

Tentang pembasmian kemiskinan pula, Anwar menyatakan wang royalti disalur terus kepada rakyat.

“Saya hendak bagitahu kita tidak ambil wang ehsan hak Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Tidak bagi kepada dia, tetapi salur ikut keadaan dan langsung kepada rakyat,” kata Anwar.

Tetapi, ramai pula rakyat mendakwa mereka tidak menerima apa-apa bantuan pun daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang mereka perolehi daripada kerajaan negeri sebelum ini.

Peniaga, Mohd Shafia Yusof, 56, berkata tindakan menangguhkan bayaran itu bukan satu tindakan bijak tetapi ia menzalimi dan menyusahkan masyarakat Terengganu yang menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri.

“Melalui wang royalti segala kebajikan untuk rakyat seperti i-Belia, i-Fitri, i-Perantau, bantuan kewangan untuk orang kurang upaya (OKU) dan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS) dapat dilakukan sebelum ini, sekarang tiada,” katanya.

Di sudut lain, ada pihak menyoal pengumuman perdana menteri bahawa kemiskinan tegar telah dibasmi di Kuala Lumpur, sebaliknya berkata hasil kaji selidik baru-baru ini membayangkan sebaliknya.

“Di Kuala Lumpur saja, kami menemui kira-kira 200 orang tinggal di jalanan dalam jarak 300m,” kata Timbalan Presiden Pertiwi Soup Kitchen, Laili Ismail kepada FMT.

Justeru, apakah sebab sebenar royalti milik negeri pengeluar minyak disekat? Ke manakah ia dibelanjakan?

Walau apa pun, semoga janji penyaluran Wang Ehsan oleh Kerajaan Perpaduan dikotakan supaya rakyat tidak melihat kerajaan yang ada pada hari ini seperti ‘burung tiong’ yang hanya banyak berbunyi tetapi tidak mengotakan janjinya.

Lidah Pengarang


Tag: