MARANG, 8 Mei – “Kami hanya penghuni penjara, tetapi hasil kerja kami diiktiraf dan ia satu penghormatan buat kami,” itu antara luahan salah seorang penghuni tirai besi yang mahir dalam tenunan songket.
Rashid (bukan nama sebenar),33, berkata dia bersyukur dengan anugerah kebolehan menenun yang diberikan Allah dan dalam tempoh tujuh tahun belajar di Bengkel Songket Penjara Marang, dia mampu meraih kemahiran walaupun masih perlu banyak belajar untuk menjadi penenun berkemahiran tinggi.
“Tidak pernah terlintas mahu menceburi bidang tenunan yang lebih sinonim dengan wanita, tetapi saya mula meminati bidang ini selepas empat bulan mempelajarinya.
“Lebih membanggakan apabila songket bernilai ribuan ringgit itu dibeli dan digunakan orang kenamaan,” katanya yang kini sedang menjalani hukuman 15 tahun penjara.
Tambah Rashid lagi, hasil tenunan songketnya pernah menjadi pilihan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan kepercayaan itu membuatkan dia berusaha sedaya upaya menghasilkan produk tenun yang terbaik.
"Bebas nanti saya tidak teragak-agak untuk meneruskan tenunan ini sebagai punca pendapatan berdasarkan permintaan yang sedia ada termasuk sudah mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi Karim (bukan nama sebenar),35, yang hanya berbaki hukuman penjara dalam tempoh 10 bulan lagi berkata Penjara Marang kini bukan sekadar tirai besi yang menempatkan banduan, tetapi turut melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang tenunan songket sejak 2004.
“Saya mengambil masa empat tahun untuk menguasai ilmu tenunan songket dengan bantuan kakitangan dan pegawai di penjara ini.
“Saya cukup berbangga dan teruja dengan kepercayaan yang diberikan pelbagai pihak kepada kami walaupun bergelar banduan,” ujarnya.
Katanya, sejak menyertai bengkel tenunan itu, ia mengajar dirinya untuk bersikap sabar yang secara tidak langsung juga mencetuskan rasa keinsafan dan penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan dahulu.
Dia yang mula menjalani hukuman pada 2017 berkata, ilmu kemahiran tenun yang dipelajari di penjara akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjalani hari-hari biasa selepas dibebaskan kelak.