• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penyelenggaraan Berkala Infrastruktur Sistem Saliran Kurang Risiko Banjir

KUALA TERENGGANU, 12 Disember- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu melaksanakan penyelenggaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran sebagai usaha mengurangkan risiko kejadian banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu merupakan salah satu inisiatif dilakukan JPS dalam menangani isu banjir sebelum musim tengkujuh 2023 di kawasan berisiko banjir di negeri ini.

“Keberkesanan projek-projek tebatan banjir dalam menangani masalah banjir khasnya di kawasan kampung yang tidak mempunyai sistem aliran yang sistematik boleh dipertingkatkan lagi dengan pembinaan saliran perumahan / kampung (dibina oleh PBT) yang menghubungkan sistem saliran utama/parit monsun (dibina oleh JPS) bagi mengurangkan banjir yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, sejumlah RM13,697,681 juta telah diperuntukkan bagi menjalankan kerja penggalian sungai dan kerja yang berkaitan di bawah Program Pemuliharaan Sungai bagi mengurangkan risiko banjir dan kerja-kerja kecemasan di luar jangka (sebelum dan selepas banjir) di bawah peruntukan persekutuan.

“Selain itu, bagi menampung aliran air banjir kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir turut dilaksanakan dengan peruntukan persekutuan sebanyak RM3.7 Juta.

“Sistem pengoperasian mekanikal dan elektrikal tebatan banjir turut diselenggara dengan sejumlah RM820,000.00 diperuntukkan,” jelasnya.

Manakala katanya, di pihak Kerajaan Negeri, sejumlah RM250,000 juga telah diperuntukkan bagi menyelenggara saliran bandar dan RM100,000 bagi penyelenggaraan muara sungai.

“Dengan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak JPS ini adalah diharapkan risiko kejadian banjir dapat dikurangkan sementara menunggu program-program penyelesaian jangka panjang disiapkan,” ujarnya.