• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Penyelesaian Islam Bukan ‘Omong Kosong'





Politik dakwah `amar makruf nahi munkar' PAS bukan ‘omong kosong' kerana menawarkan penyelesaian yang tidak boleh dicabar sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kepimpinan PAS tidak ada toleransi dalam perkara ini kerana mereka dipupuk mengamalkan sumber politik penting dalam pemerintahan Islam sejak dari akar umbi lagi.

“Kita (PAS) tidak bawa amar makruf sahaja, kita tak bawa nahi mungkar sahaja tapi kita bawa kedua-dua amar makruf dan nahi munkar. Kita ikut kalau orang ajak buat benda yang baik dan tidak bertentangan dengan naluri orang.

“Dan kita tak pernah gentar melarang orang buat sesuatu kerana apa yang berlaku berteraskan agama serta berprinsipkan kepada Islam,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kem Jati Diri J3K Terengganu Sejahtera 2018 Daerah Dungun di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang, kelmarin.

Nurkhuzaimi berkata, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga sangat marah sekiranya ada orang yang bertindak mengkritik mengenai sesuatu isu tanpa mengambil kira pendekatan serta penyelesaian secara Islam.

“Dalam Sistem Cukai Dan Perkhidmatan (GST) kita telah keluarkan satu penyelesaian sehingga hari ini tidak boleh dicabar termasuk oleh  golongan profesional ataupun golongan cendekiawan.

“Kita mengeluarkan satu penyelesaian dokumen hijau dalam itu ada tiga penyelesaian negara iaitu GST, kejatuhan mata wang dan kesempitan kos sara hidup,” ujarnya.


Menurutnya lagi, dalam hal yang sama, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga perlu  memaklumkan kepada rakyat bahawa orang Islam berpegang dengan janji dan janji berkenaan akan dikotakan.

“PAS mempersembahkan  kepada rakyat melalui ‘dokumen hijau’  penyelesaian Islam dalam dokumen hijau semuanya boleh dicapai,

“Kita (PAS) tetap dengan misi perjalanan dan insyaAllah lepas pada ini boleh tengok yang mana putih yang mana hitam…bukan kasut putih bukan kasut hitam…Yang mana permata yang mana kaca dan prinsip perjalanan yang ada sentiasa kita teruskan,” jelasnya.

Tag: