• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Perpustakaan Digital Permudah Tugas ADUN

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 3 November - Pelancaran Perpustakaan Digital mempermudahkan lagi urusan dan tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu mencari sumber dan maklumat dengan hanya di hujung jari jari sahaja.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, sebagai ahli Badan Legislatif, mereka dicabar dengan kekangan masa untuk ke perpustakaan biasa bagi membuat ulangkaji sebelum bermulanya sesuatu persidangan DUN. 

“Ahli Yang Berhormat (AYB) boleh membuat rujukan pada bila-bila masa dan di mana jua bagi mencari maklumat yang diperlukan terutama berkenaan Badan Legislatif termasuk hansard dan bahan-bahan penyelidikan.

“Pembangunan 'Digital Library' (perpustakaan digital) ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang diterjemahkan melalui Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu 2021 – 2030,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pelancaran Perpustakaan Digital DUN Terengganu yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar di Damai Lounge, Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Menurutnya, pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri juga bersetuju untuk turut membantu membangunkan Perpustakaan Digital DUN dengan lebih lengkap dan memberi laluan dan akses sebahagian aplikasi serta bahan-bahan bacaan digital yang ada disana.

“Digital library DUN ini akan melalui beberapa fasa sebelum ianya benar-benar lengkap, bermula dari pembangunan sistem di peringkat asas.

“Kolaborasi dengan Perpustakaan Awam negeri dan pembangunan sistem yang lebih banyak hingga kepada kompleks khas ‘Digital Library’ untuk jangka masa  panjang,” katanya.

Dato' Yahaya menambah, dengan adanya 'Digital Library' ini akan membantu menambahkan lagi keceriaan persidangan DUN dan seterusnya meningkatkan mutu perbahasan di kalangan Ahli-ahli Dewan.

“Di antara lain laporan atau 'blue print' tersebut mencadangkan beberapa reformasi kepada badan legislatif negeri kita supaya lebih bersifat inklusif.

“Ia turut memberi fokus untuk menambah baik khidmat rujukan dan pendidikan politik kepada ADUN selain dari peranan semak dan imbang melalui lawatan kerja apabila ada isu yang berbangkit dalam sesuatu persidangan DUN bagi tujuan mendapat penjelasan secara 'first hand' dari pihak berkenaan," ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap DUN Terengganu akan menjadi perintis kepada negeri lain dalam projek digital library ini sesuai dengan visinya, 'Menjadi DUN Yang Terunggul'.