• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Persekutuan Masih Hutang Royalti RM1.182 Bilion dengan Terengganu

Kementerian Kewangan pada awal April lalu memaklumkan Kerajaan Persekutuan sudah membayar sejumlah RM302 juta wang royalti petroleum (disebut wang ehsan) kepada Terengganu setakat Mac 2024.

Perkara itu kemudiannya disahkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan balas dan ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

“Begitu juga pada tahun ini 2024, Kerajaan Persekutuan membayar sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran RM762 juta untuk pemberian pertama, iaitu masih kekurangan RM461 juta sehingga pemberian kedua pada bulan September.

“Jumlah yang diterima ini adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen, RM103.1 juta untuk projek ‘deffered and scheduled payment’ dan RM26.3 juta untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam,” ujar Ahmad Samsuri.

Pemulangan royalti ini sangat dipuji, namun apabila ia diungkit beberapa pihak dengan niat untuk ‘memalukan’ Terengganu, ia sangat tidak wajar dan tidak sedar diri.

Ada juga yang berkata, Kerajaan Terengganu perlu mencari dana sendiri, tak perlu harapkan peruntukan Persekutuan.

“Mujur Kerajaan Persekutuan baik hati beri dana tambahan,” katanya.

Soal dana sendiri kita bahaskan di ruangan lain, di ruangan ini saya ingin menimbulkan persoalan adakah benar dakwaan ini?

Jika diteliti kenyataan itu, seolah-olah duit royalti adalah duit Kerajaan Madani atau milik parti pemerintah di pusat, sedangkan tidak, ia hak Terengganu.

Minyak diteroka dari kawasan Terengganu dan di proses di bumi Terengganu.

Perlu kita fahami, Royalti Petroleum merujuk kepada bayaran wang tunai yang mesti dibuat oleh PETRONAS kepada kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di  pantai atau di luar pantai Malaysia.

Terengganu berhak ke atas Royalti Petroleum ini kerana telah disempurnakan Surat Cara Pemberian Hak, Kuasa, Kebebasan dan Keistimewaan Berkenaan dengan Petroleum antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS pada 22 Mac 1975.

Bahkan terdapat tiga dokumen penting yang menjadi bukti bayaran Royalti Petroleum ini perlu dibuat, iaitu (1) Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144), (2) Surat Cara Pemberian Hak, Kuasa, Kebebasan dan Keistimewaan Berkenaan dengan Petroleum yang telah disempurnakan dan (3) Perjanjian antara mana-mana negeri dengan PETRONAS.

Hak Terengganu ke atas lima peratus hasil minyak ini juga turut disahkan oleh ramai tokoh negara, antaranya Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak Hussein, Bekas Pengasas PETRONAS, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas.

Sehubungan dengan itu, berdasarkan catatan dan bukti ini, boleh kita fahami duit royalti adalah hak rakyat dan kerajaan Terengganu, bukan milik parti pemerintah dan Kerajaan Persekutuan.

Jadi, amat malang jika ada pihak bertindak ‘memalukan’ diri sendiri dengan mengatakan duit itu milik mereka, Terengganu hanya mendapat ihsan Kerajaan Persekutuan, umpama pencuri yang mengaku hasil curian adalah miliknya.

Untuk rekod juga, jika dikira nilai sebenar royalti yang patut dibayar kepada Terengganu berdasarkan dokumen-dokumen rasmi, Kerajaan Persekutuan masih berhutang dengan Kerajaan Terengganu sebanyak RM1.182 bilion.

Ini kerana anggaran lima peratus yang patut diterima kerajaan pada 2023 adalah RM1,524.92, tetapi hanya RM802 juta dibayar, bermakna masih berbaki RM722.74 juta.

Bagi 2024 pula, pembayaran pertama iaitu sehingga Mac lalu adalah RM302 juta berbanding anggaran sepatutnya dibayar adalah RM762 juta, belum dibayar RM460.21 juta.

Justeru, ini menjadikan jumlah hutang sebenar RM1.182 bilion, ini baru hutang royalti lima peratus bukan 20 peratus, belum hutang LPT2.

Kita doakan semoga hutang ini dapat dilunaskan mengikut jadual dan tidak 'dibutakan' mana-mana pihak.

Muhammad Husaif Mamat,
K.Editor TRDI.


Tag: