• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pindah Segera Jika Banjir

DUNGUN, 18 November-  Arahan segera berpindah telah dikeluarkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Besi Cawangan Besol kepada penduduk kampung itu sekiranya banjir berlaku.

Pengerusinya, Nasharuddin Salleh berkata, arahan berkenaan dikeluarkan agar semua penduduk berada dalam keadaan siap sedia dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

"Sehingga 4 pagi semalam alhamdulillah keadaan masih terkawal dan saya mengarahkan penduduk jika hujan lebat berterusan sehingga mengakibatkan paras sungai meningkat segera berpindah ke Pusat Pemidahan Sementara (PPS) di Surau Kampung Besol Lama.

"Sekitanya berlaku banjir dikawasan ini ianya akan menjejaskan lapan buah rumah," ujarnya melalui satu kenyataan melalui 'Whatsapp' Khidmat Malaysia DUN Bukit Besi, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, pagi ini air sungai sudah mulai surut dan dan kembali seperti sediakala.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, Bilik Gerakan Banjir melalui Khidmat Malaysia DUN Bukit Besi telah diaktifkan serta merta.

"Kita akan sentiasa berhubung dengan pihak MPKK yang biasa terlibat dengan banjir agar sentiasa membuat laporan dari semasa ke semasa setiap empat jam sekali bagi melaporkan keadaan penduduk dan aras sungai jika hujan berterusan membabitkan Sungai Pasir Raja, Jerangau dan Kuala Jengai.

"Kita mendoakan agar tidak berlaku banjir yang teruk, serta hujan yang mengundang bencana serta perkara yang tidak diingini kerana menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan dijangka hujan lebat berterusan tambahan pula telah tiba musim tengkujuh" ujarnya.

Tindakan awal untuk berpindah katanya amat penting bagi menjamin keselamatan terutama kepada golongan warga emas, pesakit kronik, ibu bersalin dan sebagainya.

"Diharapkan agar tidak ada penduduk yang ingkar dan enggan berpindah sekiranya arahan dikeluarkan, dikhuatiri akan mengundang pelbagai perkara yang tidak baik serta menyukarkan kerja -kerja menyelamat, menyampaikan bantuan dan sebagainya.

"Di samping kita telah dimaklumkan mengenai tatacara Prosedur Operasi Standard ( SOP) yang telah ditetapkan dalam suasana norma baru pada tahun ini didalam keadaan menghadapi pandemik COVID-19," ujarnya.


Tag: