• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pindah Sementara Operasi JKM Dungun

DUNGUN, 21 November - Pejabat yang menempatkan kakitangan bahagian pentadbiran dan pegawai operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun yang terlibat dalam kejadian kebakaran baru-baru ini akan dipindahkan ke lokasi sementara bagi membolehkan jabatan itu meneruskan operasi seperti biasa dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, buat masa ini, pihak JKM Dungun dalam proses mencari bangunan baharu untuk disewa.

"Akibat kebakaran yang berlaku di bilik pengkalan data (server room) di salah sebuah bangunan kira-kira 4 pagi Rabu lalu, semua kerja-kerja di bahagian pentadbiran tergendala.

"Kakitangan JKM Dungun akan bekerja lebih masa untuk menyelesaikan apa yang patut dan yang paling penting memastikan bayaran kebajikan dibayar mengikut seperti yang dijadualkan kepada penerima," ujarnya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan yang berlaku akibat kebakaran di pejabat tersebut, baru-baru ini.

Katanya, susulan kejadian itu, perkhidmatan kaunter JKM Dungun akan beroperasi di dalam bas yang ditempatkan di lokasi asal manakala Pusat Aktiviti Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Warga Emas yang berada diluar Pejabat JKM Dungun masih beroperasi seperti biasa.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik serta Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar.

 Hanafiah yang juga merangkap ADUN Chukai berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato' Seri Rina Mohd Harun bagi memohon peruntukan membaiki kerosakkan tersebut disegerakan.

"Kita akan menunggu keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) samada hanya membaiki bilik yang rosak sahaja ataupun membina bangunan baharu dengan peruntukan daripada pusat," ujarnya.


Tag: