• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PKM Parlimen Kuala Terengganu Tempatkan Pegawai Urus 'Non-Muslim'

Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah memperluas organisasi dengan menambah beberapa pegawai-pegawai bukan Islam dari kaum Cina dan India bagi menjaga hal kebajikan berkaitan masyarakat bukan Islam pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembaharuan tersebut bagi melicinkan pengurusan serta gerak kerja PKM di samping mencakupi ruang toleransi lebih luas antara kaum.

“Jadi kita tidak perlu sering ke sana-sini untuk berbincang tentang kaum Cina, kita tidak perlu sana-sini untuk berbincang keperluan kaum India, semuanya ada di sini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Majlis Perasmian dan Solat Hajat bersempena pembukaan tambahan pejabat baharu bagi PKM Ahli Parlimen Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Jelasnya, banyak bantuan diproses dan disalurkan sepanjang kemelut COVID-19 menyebabkan kesesakan dalam ruang pejabat sedia ada dan kekurangan itu perlu diperkemaskan.

"Kita rasakan satu keperluan untuk memperbesarkan Pejabat Pusat Khidmat ini supaya urusan lebih lancar.

"Sebentar tadi kita telah mengadakan solat hajat bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT agar gerak kerja di Pusat Khidmat ini berjalan dengan sempurna dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat khususnya di Kuala Terenganu,” katanya.

Hadir sama dalam Majlis Perasmian serta Solat Hajat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.