PKP 2.0: Adun Ajil Sumbang Pek Makanan Tanda Hargai 'Frontliner'

HULU TERENGGANU, 10 Februari - Prihatin terhadap petugas kesihatan, dan menyedari besarnya pengorbanan dilakukan petugas barisan hadapan (frontliner) Covid-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil tampil menyalurkan pek makanan sebagai tanda penghargaan.

Ustaz Maliaman Kassim berkata sumbangan sarapan pagi dan makan tengahari itu walaupun kecil, namun mampu menceriakan anggota kesihatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Ajil.

Katanya, penyaluran bantuan makanan  bertujuan menyuntik semangat anggota kesihatan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


“Para doktor, jururawat dan pasukan keselamatan serta petugas-petugas lain yang terlibat secara langsung untuk menangani masalah wabak Covid-19 ini. Mereka tidak ada masa untuk berehat kerana terpaksa memberi tumpuan yang serius.

“Mereka bekerja keras semenjak isu Covid-19 ini melanda negara terutama di Terengganu,"katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan makan tengahari tersebut.

Beliau juga berkata, orang ramai seharusnya bersyukur masih berpeluang meneruskan aktiviti harian dengan selesa di rumah bersama keluarga, sementara para petugas barisan hadapan berusaha keras serta mengorbankan keselamatan dan masa mereka demi mengekang penularan kes Covid-19.

Tambahnya lagi, pihaknya sedaya upaya akan membantu semampu yang boleh selain cuba meluaskan lagi bantuan kepada pihak memerlukan selepas ini.

“Bantuan disalurkan sebagai tanda mengenang dan menghargai perkhidmatan tanpa henti barisan hadapan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

“Kita akan cuba menghulurkan sumbangan kepada beberapa pihak lagi selepas ini dan ini adalah tanda terima kasih kami kepada anda yang banyak berkorban untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu Dr Nur Hidayah Embong berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Ajil yang begitu prihatin dan sudi meluangkan masa menyumbangkan makanan hari ini.

Tambahnya lagi, beliau berharap rakyat diluar sana, mempunyai tanggungjawab untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 bersama sama.

 “Dalam erti kata yang mudah, jangan menghadiri sebarang acara yang mempunyai hubungan rapat dengan seseorang atau lebih senang difahami, duduk sahaja di rumah diam-diam, jangan ke mana-mana apatah lagi keluar dari zon tempat tinggal anda sekarang ini.

“Bukan lama pun, dua minggu sahaja untuk membolehkan rantaian virus ini dilumpuhkan. Hanya inilah langkah terbaik yang boleh dijalankan," jelasnya


Tag: