KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Program Gunting Rambut Percuma 'Back To School' anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa menyiapkan anak-anak mereka bermula sesi persekolahan 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, berkata program kebajikan seumpama ini walaupun kelihatan kecil, namun memberi makna besar kepada keluarga yang memerlukan.
"Program yang menjadi rutin tahunan setiap kali musim pembukaan sekolah ini bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa serta menceriakan anak-anak dalam membuat persiapan kembali ke sekolah.
“Inilah antara usaha kecil kita untuk ringankan sedikit beban mak ayah dan pada masa yang sama menggembirakan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau gelagat anak-anak yang mendapat khidmat gunting rambut daripada pemuda-pemuda DUN Ladang, baru-baru ini.
Katanya, penglibatan aktif pemuda-pemuda DUN Ladang membuktikan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat terus subur dalam kalangan komuniti setempat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemuda-pemuda hebat Ladang yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.
“Semoga usaha kebajikan ini terus menguatkan komuniti di DUN Ladang. Kecil nilainya, tetapi besar maknanya,” ujarnya.