• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Punca Kematian Terjerut Tali Bidai Langsir

Superitenden Baharudin Abdullah

Pihak polis menolak terdapatnya unsur jenayah terhadap mayat bayi berusia setahun lapan bulan, Muhammad Azhari Zul Azri yang maut selepas terjerut pada tali bidai tingkap dalam kejadian di rumahnya di Bandar Al Muktafi Billah Shah, (AMBS),  Dungun, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata proses bedah siasat dilakukan oleh sekumpulan pakar forensik dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ ), Kuala Terengganu, bermula pada pukul  11.30 pagi dan berakhir pada jam 1 tengahari tadi.

Menurut Baharudin, bedah siasat mendapati bayi tersebut meninggal dunia akibat daripada kesan jerutan di lehernya selepas terjatuh pada tali bidai tingkap tersebut.

"Jerutan pada leher bayi itu yang menjadi punca utama kepada kematiannya dan hasil pemeriksaan lanjut  turut  tidak menemui sebarang kecederaan lain pada mayat bayi tersebut," katanya.

Menurutnya, kes tersebut di klasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya tidak akan melakukan sebarang siasatan  terhadap ibu bapa bayi tersebut kerana hasil siasatan yang telah dilakukan tidak menemui sebarang unsur kecuaian di dalam kejadian tersebut.

Dalam kejadian pukul  6.50 petang semalam, Muhammad Azhari dikatakan terjatuh dari sebuah sofa sebelum terjerut pada tali bidai langsir ketika bermain berseorangan .

Ketika kejadian, ibunya, Nor Yasmin Mat Yassin, 36, seorang pembantu Tadbir di Sekolah Kebangsaan Durian Mas 1 baru sahaja selesai  menunaikan solat Asar sebelum melihat anaknya itu tergantung pada tali bidai tersebut.

Nor Yasmin kemudiannya bertindak menghubungi suaminya, Zul Azri Hashim, 39, seorang pekerja swasta yang ketika itu sedang bekerja tidak jauh dari rumahnya.

Menyedari anak mereka itu tidak memberikan sebarang respon, bayi tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar AMBS dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik pada pukul 7.30 petang.

Jenazah Muhammad Azhari di bawa oleh bapanya untuk disemadikan


Jenazah bayi itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar AMBS selepas solat Zohor tadi.

Tag: