Pusat Khidmat Komited Beri Khidmat Terbaik Buat Rakyat




Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 13 Februari – Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus akan terus memainkan peranan dalam menyediakan pelbagai kemudahan seperti aktiviti kebajikan, kemasyarakatan, pembangunan belia dan pelbagai lagi untuk rakyat kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Sekreatariat Pusat Khidmat, Ustaz Hafeez Ahmad berkata segala urusan yang berkaitan keperluan rakyat telah disusun mengikut keperluan untuk perhatian pihak Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bagi tindakan susulan.

“Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus merupakan pengantara utama rakyat Kuala Nerus dengan wakil rakyat dan kami akan  terus membantu serta memberi bantuan kepada rakyat Kuala Nerus yang amat memerlukan pertolongan dan bantuan.

“Permohonan bantuan rakyat juga telah diterima untuk diproses dan diluluskan mengikut keperluan sama ada diuruskan oleh parlimen atau dihantar kepada Dewan Undangan Negeri(DUN) yang berkaitan,” katanya  ketika ditemui dalam penyampaian bantuan di Kampung Kesom Haji Hussin, Dun Buluh Gading, semalam.

Dalam program lawatan tersebut, sebanyak lima buah keluarga dilawati oleh Ahli Parlimen dan Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Menurut Hafeez, program itu merupakan program rutin yang sentiasa diadakan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan rendah.


Tag: