• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia Lebar Sayap Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 April - Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Petaling Jaya, Selangor yang didaftarkan secara rasminya dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS)  pada 2012 kini melebarkan sayapnya keTerengganu.

Setiausahanya, Dr Asyraf Isyraqi Jamil berkata, tujuan utama penubuhan rabitah berkenaan adalah untuk menyampaikan wadah al-Azhar kepada ribuan lepasan al-Azhar di seluruh dunia serta menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama ahli.

“Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), kami menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah kepada ahli selain membawa mesej wasatiyah yang jauh dari pemikiran ekstrem,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap di Majlis Taklimat Dan Dialog Penubuhan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Lothman Awang dan Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu, Abdullah Suhaimi.

Sementara itu, Abdullah yang menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu pada majlis berkenaan menyifatkan, pembukaan rabitah di Pusat Bahasa Arab Terengganu itu merupakan suatu kebanggaan kepada Negeri Terengganu.

“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa Bahasa Arab di bumi Darul Iman ini.

“Dengan adanya rabitah cawangan Negeri Terengganu ini, saya harap dapat memberi sumbangan, menyebarluaskan lagi program-program seperti meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab dan sebagainya.

“Saya juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha memperkasa bahasa Arab ini,” ujarnya.