• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Batu Rakit Gembira Terima Pencen Rakyat

SETIU, 11 Februari – “Alhamdulillah, dapat sedikit meringankan beban saya !” itu antara luahan hati seorang penerima pencen rakyat, Mohd Noh bin Mat yang kini berusia 75 tahun.

Beliau yang tinggal di Kampung Mengabang Telong berasa teramat terharu terhadap usaha kerajaaan negeri Terengganu dan berharap sumbangan seperti ini akan berterusan untuk masa akan datang.

“Saya harapkan kerajaan hari ini dikekalkan sampai bila-bila kerana berjaya menunaikan manifesto hampir 100 peratus,” katanya kepada kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima sumbangan itu di Dewan Serbaguna Wakaf Catur Maras, Batu Rakit.

Seramai 545 warga emas dari Batu Rakit telah menerima manfaat Pencen Rakyat Warga Emas dalam membantu menyara keperluan harian golongan sasar tersebut.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata bantuan itu merupakan sebahagian daripada manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu direalisasikan akhir tahun lepas.

Beliau berkata, semua penerima yang layak akan menerima bantuan RM50 sebulan sehubungan dengan keputusan kerajaan negeri untuk melakukan pembayaran sebanyak RM300 bagi setiap penerima.

“Penerima terdiri daripada ketua isi rumah yang dikenalpasti tidak mendapat bantuan lagi daripada mana-mana agensi sama ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam),” tambahnya.
Warga emas berumur 60 tahun ke atas di negeri ini akan mula menerima bantuan Pencen Rakyat sebanyak RM300 seorang.