KUALA NERUS, 2 November - Tindakan 'merayu undi' di universiti dengan memaksa mahasiswa mengundi calon tertentu disifatkan sebagai keterlaluan dan memalukan diri sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perbuatan itu mencalarkan imej institusi pengajian tinggi dan merendahkan martabat sistem pendidkan.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana universiti awam bebas daripada politik kepartian.
"Walaupun kita tahu umur 18 sudah diberi kelayakan untuk mengundi, tetapi cara terbuka macam itu akan mengakibatkan parti-parti politik lain juga akan minta untuk memasuki institusi-institusi pendidikan dengan menggunakan pihak pentadbiran untuk mengumpulkan para pelajar dan mengasak mereka dengan politik kepartian ini sesuatu yang tidak wajar.
"Nampak sangat terdesak untuk meraih sokongan daripada mahasiswa, mereka ini golongan yang terpelajar jadi saya rasa tindakan ini kadang-kadang memperbodokan diri sendiri, "ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Penyelidikan Pendidikan, Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, di sini, semalam.
Menurut Satiful, anak muda perlu diberikan pendedahan ilmu politik secara baik yang tidak menjurus kepada kepartian.
Katanya, semua pihak perlu memberi kebebasan untuk menentukan pendirian parti mana yang lebih baik.
"Kita masih lagi berharap agar institusi ini bebas daripada unsur-unsur politik kepartian, tetapi pada hari ini usia 18 melayakkan mereka mengundi jadi perlu untuk difahami akan ilmu sains politik cuma kita minta jangan menjurus kepada kepartian,"ujarnya lagi.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial, pemimpin sebuah parti politik merayu undi dalam satu program.
Dalam video berkenaan, pemimpin parti BN itu telah bertanya kepada pelajar yang hadir sama ada untuk memberi undi atau tidak kepada partinya, tetapi mahasiswa mengatakan tidak.