Rebana Besut Ke Sukan Komanwel
Pak Su harap ilmu menghasilkan alat muzik tradisional dapat diwarisi generasi muda. |
BESUT, 12 Februari - Nostalgia rebana dikir bersaiz besar buatan bapanya, Abdul Ghani Yusof yang dipalu pada acara pembukaan temasya sukan terulung, Sukan Komanwel 1998 masih terbayang di mata Mohamad Abdul Ghani, 55, atau lebih dikenali sebagai Pak Su Mad.
Tidak tergambar betapa bangga perasaannya ketika menyaksikan hasil tangan tersebut menjadi tumpuan dalam acara sukan kedua terbesar di dunia itu.
"Ketika itu, ayah bersama abang, Hussin Abdul Ghani, 59, menyelesaikan tugas yang diberikan kerajaan ketika itu hanya dalam masa dua hari dengan bayaran sebanyak RM3,000," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kediamannya di Kampung Gong Ubi Keling, Jerteh, di sini, baru-baru ini.
Pembuat rebana dikir tradisional itu menyatakan dia dan isteri hanya mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut setelah bapanya meninggal dunia.
"Mula-mula buat gendang ini selepas allahyarham ayah meninggal dunia pada 2003 iaitu ketika saya berusia 63 tahun.
"Di akhir hayatnya, ayah sempat berpesan supaya anak-anaknya memanfaatkan alat-alat pertukangannya yang ditinggalkan beserta bengkel mini yang dibina di tepi rumah.
“Jadi, kini saya dan abang meneruskan perusahaan yang dibangunkan ayah suatu masa dahulu,” katanya yang turut membuat gendang silat dan kompang jika terdapat permintaan.
Isterinya, Rozinah Yusuf, 53, pula turut membantu Pak Su Mad menghasilkan rebana serta gendang bersaiz kecil untuk perhiasan.
Menurutnya lagi, lazimnya, hasil kerja mereka akan dijual di Bazar Tok Guru, Kota Bharu, selain ada pelanggan yang membelinya di rumah.
“Paling banyak mendapat sambutan ialah rebana dikir dan gendang silat. Perhiasaan replika rebana juga banyak permintaan jika kena pada musimnya,” kata Rozinah sambil menyifatkan usaha suaminya itu lebih bertujuan memelihara warisan tradisi Melayu daripada hilang ditelan zaman.
Di Besut, hanya tinggal Pak Su Mad dan abangnya yang masih aktif mengusahakan alat muzik tradisional itu.
Dalam kunjungan itu, Pak Su Mad sempat menunjukkan proses pembuatan rebana dikir yang memerlukan ketelitian dan kemahiran tinggi.
Buatan tangannya halus dan kemas terlihat menarik ditambah ikatan dan jalinan rotan yang kukuh, menjadikan rebana Pak Su Mad sentiasa menjadi pilihan peminat alat muzik tradisional di Pantai Timur.
Dalam kunjungan itu, Pak Su Mad sempat menunjukkan proses pembuatan rebana dikir yang memerlukan ketelitian dan kemahiran tinggi.
Buatan tangannya halus dan kemas terlihat menarik ditambah ikatan dan jalinan rotan yang kukuh, menjadikan rebana Pak Su Mad sentiasa menjadi pilihan peminat alat muzik tradisional di Pantai Timur.
Beliau juga kerap kali mengungkapkan untuk mewariskan ilmu pertukangannya itu kepada anak-anak dan sesiapa sahaja yang ingin mendalaminya.
“Kalau boleh, saya harap anak-anak dapat menggantikan saya suatu masa nanti. Tetapi, setakat ini hanya anak keempat, Muhammad Faris yang dilihat minat untuk memperlajarinya.
“Kalau ada orang lain yang datang hendak belajar, saya boleh juga ajarkan kerana apa yang penting ilmu yang ada ini dapat dikekalkan,” ujarnya sayu.
Beliau turut berharap pihak kerajaan mengambil perhatian terhadap tradisi dan budaya yang semakin pudar lantaran generasi muda kurang meminati untuk meneruskan kelangsungan tradisi itu kini.
“Ilmu-ilmu berkenaan tradisi ini perlu diambil perhatian kerana jika bukan kita, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk buat. Mungkin, jika tidak dijaga, esok lusa tiada lagi yang hendak mengekalkan benda lama ini,” katanya.