• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Remaja Tulang Bengkok Terima Bantuan TDI

Che Ku Syafiq menunjukkan bahagian kaki kanannya yang terpaksa dibuat pembedahan membetulkan tulang yang bengkok itu.
KUALA TERENGGANU - Badan-badan korporat, anak-anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan orang ramai digalakkan menyumbang kepada Tabung Darul Iman (TDI), yang ditubuhkan oleh kerajaan Terengganu.
 
Ini kerana, TDI tidak pernah lekang dari membantu rakyat Terengganu terutama kepada mereka yang ditimpa bencana alam, bantuan sara hidup dan pesakit kronik.
 
Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) menemui, seorang remaja yang mengidap penyakit keturunan melibatkan masalah saraf dan tulang bengkok.
 
Che Ku Mohammad Syafiq Che Ku Abdillah, 18, dari Taman Permint Perdana, Kapung Batin Seberang Takir menerima bantuan perubatan dari TDI.
 
Beliau dikesan mengalami penyakit ‘multiple epiphyseal dysplasia’ pada kedua belah kakinya menjadi bengkok.
 
“Saya sakit kaki ini mula (dikesan) umur 10 tahun lagi. Kedua-dua belah kaki saya makin lama semakin membengkok.
 
“Pergerakan semakin terhad sehinggalah selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baharu saya buat pembedahan kaki (kanan) ini, Alhamdulillah…selamat,” ujarnya merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (SMKKST).
 
Menurut beliau, kos pembedahan bagi kedua-dua belah kaki itu mencecah RM15,794.00 dan ditanggung sepenuhnya melalui TDI dan kerajaan negeri.
 
Che Ku Syafiq menghidapi sejenis penyakit ‘multiple epiphyseal dysplasia’ pada kedua-dua belah kakinya.
UPDI dimaklumkan, kedua-dua belah kaki remaja itu akan dibedah bagi membetulkan semula tulang betisnya yang bengkok.
 
Bapanya, Che Ku Abdillah Che Ku Ismail, 50, bekerja sebagai pembantu kebersihan di sebuah hotel di Kuala Terengganu.
 
“Jika harapkan duit sendiri, saya tidak mampu 100 peratus untuk buat pembedahan Che Ku Syafiq ini kerana kosnya yang mahal.
 
“Ini macam penyakit keturunan juga kata doktor dan selain Syafiq, ada dua orang lagi anak saya yang mungkin menghadapi masalah sama,” ujar beliau ketika ditemui di rumahnya.
 
Menurutnya, kerajaan negeri Terengganu dan Tabung Darul Iman (TDI) banyak membantu meringankan beban ini.
 
Katanya, pembedahan kaki Che Ku Syafiq itu dibuat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian, Kota Bharu pada 2 September lalu.

Tag: