• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

RM100,000 Peruntukan Bina Jeti Konkrit Nelayan Kampung Batin

Oleh : Hidayah Azlin/Arifuddin Alias

KUALA NERUS, 9 September – Sejumlah RM100,000 akan diperuntukan bagi pembinaan jeti konkrit nelayan di Kampung Batin, Seberang Takir di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek baharu itu juga akan menggantikan jeti lama yang telah berusia 10 tahun.

Katanya, berita gembira itu bakal memberi manfaat besar kepada sekitar 25 buah bot nelayan.

"Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir ini sangat uzur. Untuk hari ini, kita baiki dulu untuk kegunaan sementara nelayan. Alhamdulillah, dengan kelulusan pembinaan jeti konkrit baharu ini, ia bakal  memberikan lebih keselesaan kepada rakan-rakan nelayan kita di sini. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan seberapa segera insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen untuk memudahkan urusan nelayan dan orang kampung.

"Proses membaiki ini akan kita usahakan secepat mungkin sebagaimana yang telah diberi jaminan oleh Dr. Azman Ibrahim.

“Insya-Allah kerja-kerja baikpulih jeti ini dijangka siap sebelum akhir tahun ini ,” ujar beliau.

Menurut Mohd Fazil lagi, beliau berharap dengan tindakan segera daripada pihak kerajaan itu dapat memberi manfaat dan keselesaan serta keselamatan kepada nelayan untuk mencari rezeki.

Dalam pada itu, seorang nelayan yang ditemui media, Hasmadi Ibrahim, 48, berkata, beliau mengalu-alukan tindakan pantas untuk mengatasi masalah iitu kerana jika berlarutan akan mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jeti tersebut.

"Jeti menjadi tempat nelayan mencari rezeki, usaha pantas daripada pihak kerajaan diharap mampu menyelesaikan permasalahan ini yang menjadi kebimbangan kami," tambahnya.


Tag: