lightning-solid
Berita :
RM26.5 Juta Perkasa Pengurusan Bencana Terengganu
RM26.5 Juta Perkasa Pengurusan Bencana Terengganu
Noraini Jusoh
11 Dec 25
123

KUALA TERENGGANU, 11 Disember – Peruntukan RM26.5 juta disalurkan bagi memperkukuh sistem pengurusan bencana Terengganu sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut yang berlaku setiap tahun. 

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Terengganu dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan tersebut menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara melalui tindakan pencegahan serta peningkatan infrastruktur kritikal di seluruh negeri.

“Sebahagian besar peruntukan itu digunakan untuk melaksanakan 317 projek pemuliharaan infrastruktur asas yang terjejas akibat bencana, dengan setiap projek bernilai RM200,000 dan ke bawah. 

“Langkah ini bertujuan mengukuhkan semula struktur asas yang rosak, meningkatkan daya tahan kawasan berisiko dan memastikan keperluan rakyat tidak terjejas ketika berlakunya cuaca ekstrem,” ujarnya.

Katanya, inisiatif pemulihan berkenaan juga mencerminkan strategi holistik kerajaan dalam mengurangkan kelemahan fizikal negeri melalui pendekatan jangka panjang yang lebih efektif. 

“Pengukuhan infrastruktur ini dijangka memberi impak langsung kepada masyarakat terutama di kawasan rendah dan mudah dinaiki air yang saban tahun berdepan risiko tinggi banjir.

“Dengan pelaksanaan projek secara menyeluruh, Terengganu dijangka menikmati peningkatan ketara dari aspek kesiapsiagaan, kecekapan respons dan keselamatan awam,” jelas kenyataan itu.






Artikel Berkaitan