• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

RM465 Ribu Bangunkan Pelancongan Tradisional Marang Terengganu

Ariffin (tengah) meluluskan peruntukan segera kepada pengusaha atap nipah, Norashikin (kiri) untuk membina bangsal pemprosesan atap yang lebih besar.
MARANG, 4 Ogos - Kerajaan Terengganu sedang mempertimbang permohonan Pejabat Daerah Marang untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM465,000 bagi membangun dan mempromosikan semula industri pelancongan tradisional di Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak RM210,000 daripada keseluruhan dana disalurkan kepada pembangunan infrastruktur dan produk pelancongan di perkampungan tradisonal Kampung Jenang.

Jelasnya, ia termasuk projek menaik taraf jeti di kampung tersebut yang dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong apabila ia sempurna kelak.

“Kampung Jenang memang terkenal sejak dahulu, ramai pelancong datang ke sini kerana keunikan hasil tempatan dan suasana kampungnya. Kami akan hidupkan kembali perkampungan ini supaya ia kembali menjadi destinasi pelancongan utama.

“Industri kraftangan serta tempat pemprosesan 'nisang' (gula melaka), dodol serta makanan tradisional lain antara yang dikenali di kampung ini,” katanya selepas melawat kampung berkenaan, di sini hari ini.
Industri pembuatan 'nisang' turut mencuri tumpuan pelancong di Kampung Jenang.
Hadir sama dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Khas ADUN Rhu Rendang, Wahad Osman.

Kata Ariffin lagi, Kampung Batu Putih yang terletak bersebelahan Kampung Jenang turut menerima manfaat apabila sebanyak RM255,500 akan diperuntukkan bagi pembangunan Dataran Batu Putih (jeti sungai) sebagai tarikan baharu untuk pelancong.

Tambah beliau, kawasan tanah lapang berhampiran jeti tersebut juga akan dibangunkan sebagai Lembah Kelapa Marang.

“Hasrat itu secara tidak langsung akan turut meningkatkan ekonomi penduduk di sekitar ini yang pada asasnya mengusahakan perniagaan yang sama sebagaimana penduduk Kampung Jenang,” tambah beliau.

Sungai Jenang yang kaya dengan sumber semula jadi.


Tag: