• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

Rombakan Besar-besaran Pasukan Bola Sepak Terengganu Demi Pulih Imej



Kerajaan negeri akan membuat rombakan besar-besaran terhadap pengurusan bola sepak negeri tahun hadapan dalam usaha menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan Terengganu FA sejak akhir-akhir ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata rombakan itu bertujuan memperkukuh pasukan bola sepak negeri ekoran prestasi hambarnya dalam beberapa siri liga sebelum ini.
Rozi mengulangi kekecewaan­nya berikutan kemerosotan prestasi pasukan Terengganu yang diletakkan pada paras bahaya untuk memastikan mereka masih berada dalam liga super.
"Sekarang kita berada pada kedudukan bahaya, semua kemungkinan boleh berlaku, apapun kami berharap buat masa ini mereka bertahan untuk mengutip mata dalam liga seterusnya...kekal dalam Liga Super tahun depan dan bukannya turun ke Liga Perdana.
"Kalau mereka tidak dapat bertahan, jadi pada tahun hadapan kita terpaksa membuat penilaian menyeluruh ke atas skuad Terengganu FA ini bagi memastikan prestasi pasukan tersebut dapat dipulihkan daripada para bahaya untuk terus kekal dalam saingan Liga Super serta mengukuhkan bola sepak Terengganu, "katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tree For a Tree di Dataran Waterfront Kuala Berang, semalam.
Rozi berkata, Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar akan membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai rombakan terhadap pengurusan dan pasukan Terengganu ekoran kemerosotan prestasi skuad itu.
"Namun kita masih melihat secara menyeluruh selain menghantar laporan dan melakukan siasatan apa punca sebenarnya berlaku kepada pasukan Terengganu kerana situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini,"katanya lagi.

Tag: