• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Rumah Hangus, MPKK Salur Bantuan Segera

Keadaan kediaman mangsa yang musnah dijilat api.
MARANG- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 9, di sini berusaha menyalurkan bantuan segera berupa keperluan makanan, penempatan sementara dan pakaian kepada mangsa kebakaran di kampung itu, kira-kira 9.45 pagi ini.

Pengerusi MPKK, Mamat Jusoh berkata pihaknya akan menyediakan kelengkapan asas kepada mangsa Hasbullah Bakar dan keluarga bagi meringankan beban mereka.
Mamat Jusoh.

"Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan telah menyalurkan maklumat mangsa kepada pihak berwajib.

"Tetapi, kita faham bantuan kerajaan akan memakan sedikit masa. Oleh itu, kami bertindak menyelaras penempatan dan kemudahan keluarga ini sehingga bantuan itu dapat disalurkan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.

Kediaman Habullah, 33, hangus dijilat api semalam, ketika beliau keluar berkerja. 

Kejadian disedari anak lelakinya yang berusia empat tahun yang menjerit memanggil isterinya ketika melihat api mulai marak.

Hasbullah.

Kebakaran bermula dari sebuah bilik dipercayai akibat litar pintas itu menyebabkan rumahnya hampir 100 peratus musnah.

Hasbullah yang tiba di rumah sekitar jam 10 pagi berkata, beberapa peralatan dapur berjaya diselamatkan walaupun api terlalu marak.

"Bahagian dapur agak jauh dari punca api, jadi saya dan jiran sempat mengeluarkan beberapa barang. Tetapi, keseluruhan bahagian hadapan musnah," katanya.





Tag: