• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Sabasun 'Buang' 100 Peratus Produk Berkait Israel

DUNGUN, 18 Februari - Sabasun bertegas untuk memboikot sepenuhnya segala produk dan barangan berkait negara haram Israel bermula Mac ini.

Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, ia termasuk produk daripada jenama Nestle yang tidak akan dijual lagi.

Ujarnya, Sabasun telah memulakan kempen boikot barangan Israel sejak 2002 secara berperingkat bermula dengan menghentikan penjualan minuman coca- cola dan Pepsi sebelum memboikot barangan lain yang memberikan keuntungan kepada zionis Israel

"Bermula 1 Mac ini akan boikot 100 peratus termasuk barangan Nestle yang sebenarnya berpengkalan di Switzerland namun malangnya mereka melabur dengan begitu banyak kepada Israel.

"Kita pernah menghantar surat kepada ibu pejabat Nestle di Switzerland bermula tahun 2006 hingga 2009 agar mengeluarkan pelaburan mereka agar tidak lagi terlibat secara langsung dengan negara haram terbabit tetapi pada tahun 2016 mereka menambah saham mereka menjadi 100 peratus," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Mengulas lebih lanjut, Che Salmi menegaskan pihaknya tidak akan memenuhi lagi permintaan pelanggannya yang masih lagi bergantung harap kepada beberapa produk daripada jenama Nestle.

"Kita tidak pernah melihat pada peradaban moden ini sebarang bentuk kezaliman yang begitu kejam sebagaimana dilakukan Israel terhadap lebih 30 ribu nyawa orang awam termasuk 12,000 kanak-kanak.

"Mereka tanpa segan silu melakukan kedurjanaan ini, tidak pernah kenal undang-undang antarabangsa, hak kemanusiaan dan undang-undang perang walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan lebih 200 amaran namun tidak diendahkan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, pihak Sabasun mengharapkan agar rakyat terus menderma melalui tabung Palestin yang dikhaskan di Sabasun dan terus mendoakan Palestin di samping bertekad akan memboikot sepenuhnya segala barangan berkait Israel.

"Teruskan bercakap mengenai isu yang berlaku di Gaza ini agar tidak mati sebegitu sahaja, jangan ulangi sebagaimana yang pernah berlaku suatu waktu dahulu hampir tidak ada yang mengambil peduli mengenai apa yang terjadi di Palestin.

"Dengan berlakunya taufan Al-Aqsa ia kembali membangkitkan masyarakat dunia, teruskan berdialog, berpidato agar Palestin akan sentiasa ada dalam hati kita, insya-Allah," ujarnya.